Pas kerah ahli, penyokong hadir himpunan Islam Melayu terancam

Pas mengerahkan kesemua ahli dan penyokong parti pembangkang itu untuk hadir ke Himpunan Kebangkitan Ummah yang diadakan di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampong Bharu, Kuala Lumpur Sabtu ini.

Melalui surat dari Pejabat Agung Pas, semua ahli dikehendaki membawa seramai mungkin penyokong parti tersebut dalam himpunan bertemakan ‘Malaysia Baharu Pasca PRU14: Islam Melayu Terancam’ itu.

Dimaklumkan juga, himpunan itu atas anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Sekretariat Permuafakatan NGO.

Turut disenaraikan empat objektif himpunan yang dijadualkan bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang itu iaitu bantahan terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan ancaman terhadap bahasa Melayu.

Dua lagi objektif himpunan itu adalah ancaman terhadap kedudukan Islam sebagaimana dijamin Perlembagaan dan ancaman terhadap institusi raja-raja Melayu.

Himpunan yang dirancang lima jam itu bakal menyaksikan ucapan pimpinan NGO/NGI, persembahan nasyid dan lagu patriotik serta pengisytiharan deklarasi atau tuntutan himpunan.

“Justeru itu, semua pimpinan dan ahli-ahli Pas negeri/Wilayah Persekutuan, Kawasan, Cawangan dan Dewan-Dewan (semua peringkat) diarahkan untuk turun beramai-ramai bagi menghadiri himpunan tersebut disamping menyeru, mengajak dan membawa SEMAKSIMA MUNGKIN para penyokong Pas ke program ini sebagai menzahirkan semangat dan kebersamaan kita dalam isu-isu berkenaan,” dipetik daripada surat bertarikh 21 Julai itu.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 8.0