Malaysia Dateline

Pas kesal DUN Melaka bubar pada masa sama sudah tubuh jawatankuasa pilihan raya

Pas mengikuti perkembangan politik di Melaka dan melahirkan kekesalan di atas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka secara luar jangka dalam tempoh pemulihan pandemik ini.

Bagaimanapun Pas menyatakan kesediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuklah mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya dilaksanakan.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan berkata, Pas telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Induk PRN Melaka bagi merangka strategi menghadapi pilihan raya itu nanti.

Jawatankuasa yang dibentuk itu dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri merangkap Naib Presiden Pas, dengan dibantu oleh Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat dan Badan Perhubungan Pas Negeri Melaka.

DUN Melaka dibubarkan berikutan empat ADUN telah hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN terbabit adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.