Pas kini rancak berstrategi

Pas kini rancak berstrategi

Tiada lagi ucapan mengecam Umno dalam muktamar serta pemakaian tengkolok dan keris bercampur dengan pendedahan Abdul Hadi beberapa hari lepas yang menolak pujukan Tun Mahathir Mohamad.

 

Sejak PAS tidak lagi berada dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), ramai yang menjangkakan parti tersebut akan hilang pengaruh dalam arena politik tempatan kerana hakikatnya adalah parti yang berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) secara berseorangan tidak keterlaluan jika diandaikan langsung tidak mempunyai peluang untuk menang.

Ada juga yang beranggapan bahawa Pas akan bergabung atau setidak-tidaknya bekerjasama dengan Umno demi kelangsungan perjuangan rakyat beragama Islam melalui saluran politik tetapi andaian tersebut ternyata tidak akan berlaku kerana Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden Pas menegaskan parti pimpinan beliau tidak akan bersatu dengan Umno tetapi sebaliknya akan menjadi pembangkang yang konstruktif membantu kerajaan BN memakmurkan negara.

Strategi kerjasama melalui menjadi pembangkang yang konstruktif dengan Umno itu dianggap sedikit luar biasa kerana Pas tidak mahu bekerjasama tetapi tetap mahu membantu Umno dalam mengurus negara.

Pada bulan Mac lepas Pas sekali lagi mengejutkan dunia politik tempatan apabila mengumumkan kerjasama politik dengan  Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai gabungan politik ketiga selepas BN dan PH. Seperti yang dijangka ramai penganalisis, gabungan dengan Ikatan tidak memberi kesan yang ketara kepada dunia politik tempatan terutama sekali kerana Ikatan tidak mempunyai tapak sokongan yang kuat sejak ia ditubuhkan pada Jun 2012.

Timbul kemusykilan apakah Pas begitu terdesak untuk bergabung dengan Ikatan sejak meninggalkan PH atau pun Pas mempunyai perancangan yang lebih besar kerana secara dasarnya sukar bagi Ikatan untuk membantu Pas.

Pas sekali lagi mengocak politik tanahair ketika berlangsung Muktamar Tahunan kali ke 62 di Kota Bharu pada awal bulan Jun jika di teliti isi kandungan ucapan Presiden dan juga kebanyakan perwakilan. Tidak ada lagi ucapan berbaur retorik yang menghentam Umno terutama sekali tetapi kali ini lebih menjerumus kepada perkongsian tanggung jawab mengurus negara bersama-sama dengan Umno.

Mungkin juga kandungan ucapan perwakilan yang lebih mesra Umno tersebut adalah susulan dari strategi Pas yang ingin menjadi pembangkang yang lebih konstruktif tanpa perlu mengujudkan landasan kerjasama yang nyata dengan Umno. Secara dasarnya apa yang dijanjikan oleh Presiden Pas tersebut dalam hal pertalian parti beliau dengan Umno sebenarnya telah di kotakan jika inti pati ucapan muktamar itu di ambil kira.

Tetapi apabila ada perwakilan yang bertengkolok dan Abdul Hadi pula menghunuskan keris ketika merasmikan muktamar, ada pihak yang membaca pertistiwa tersebut sebagai pelik dan lucu kerana tengkolok dan keris begitu sinonim dengan perjuangan Melayu dan begitu sukar pula untuk dipisahkan dari Umno. Ada pihak melabel Pas itu lagaknya lebih Umno dari Umno itu sendiri.

Tetapi jika dikaitkan dengan faktor pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tindak tanduk perwakilan Pas ketika muktamar terutama sekali dalam bab berpakaian seperti hulubalang Melayu mempamirkan strategi untuk meraih simpati pengundi Melayu. Pas akur bahawa keputusan cemerlang yang di perolehi dalam kedua-dua kawasan semasa pilihanraya umum 2013 sebahagiannya adalah ihsan dari penyokong PH iaitu dari parti DAP dan juga PKR.

Setelah keluar dari PH adalah begitu sukar sekali Pas mengulangi prestasi 2013 kerana sudah pasti akan kehilangan undi penyokong PH. Pas tidak mempunyai pilihan selain dari perlu meraih sokongan pengundi atas pagar yang kebanyakannya adalah dari pengundi Melayu.

Sebab itu tengkolok, baju melalyu serta keris yang simboliknya mewakili kebudayaan Melayu adalah strategi Pas dalam mempamirkan bahawa mereka juga memperjuangkan kepentingan Melayu.

Harapannya adalah kumpulan pengundi Melayu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang masih belum membuat keputusan akan menilai Pas sebagai parti yang mampu menggalas tanggung jawab yang selama ini di pikul oleh Umno.

Bermula dari kerjasama dengan Ikatan, tiada lagi ucapan mengecam Umno dalam muktamar serta pemakaian tengkolok dan keris bercampur dengan pendedahan Abdul Hadi beberapa hari lepas yang menolak pujukan Tun Mahathir Mohamad supaya menyertai gerakan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, begitu jelas sekali Pas tanpa pakatan pembangkang boleh menjadi anjal dalam memperjuangkan agenda politik mereka demi kelangsungan Pas dalam arena politik tempatan.

COMMENTS

Wordpress (0)