
Pas Kuala Nerus mahu kerajaan lucut kewarganegaraan Adun Pujut
Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri, mahu agar Perlembagaan Persekutuan dikuatkuasakan sepenuhnya bagi menghalang mana-mana warganegara Malaysia memiliki lebih dari satu kewarganegaraan.
Ia selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa pelucutan kelayakan Dr. Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut adalah sah selepas terbukti beliau pernah memiliki kewarganegaraan Australia selain memiliki kewarganegaraan Malaysia.

Dr Ting Tiong Choon
“Saya menyanjung tinggi hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang tanpa takut dan gentar membuat keputusan yang menegakkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan walaupun parti yang Dr Ting Tiong Choon wakili adalah sebahagian daripada pakatan yang memerintah Malaysia sekarang.
“Keputusan ini adalah satu amaran keras kepada mana-mana rakyat Malaysia supaya tidak sesekali cuba memohon dan memiliki kewarganegaraan negara asing serta pada masa yang sama masih mahu menikmati keistimewaan yang dimiliki oleh warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, oleh kerana Adun Dap tersebut memiliki dua kewarganegaraan, maka Dun Sarawak pada 12 Mei 2017 telah melucutkan kelayakan Dr. Ting Tiong Choon sebagai Adun dengan 70 undi menyokong berbanding 10 undi membangkang.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan dengan itu perlu segera mengeluarkan perintah bagi melucutkan kewarganegaraan Adun tersebut.
Ini kerana katanya, ia selari dengan Perkara 24 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:
“Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan), maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.”