Malaysia Dateline

Pas lebih dominan tentukan kerusi rakan politik dalam Gagasan Sejahtera

Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang akan bersama Pas dalam blok ketiga Gagasan Sejahtera untuk menentang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14, menyerahkan sepenuhnya jumlah kerusi yang akan dipertandingkan Ikatan kepada Pas.

Presidennya Tan Sri Abdul Kader Sheikh Fadzir berkata, sebagai sebuah parti yang sudah lama bertapak dalam politik tanahair, Pas lebih dominan dalam penentuan kerusi rakan politiknya dalam Gagasan Sejahtera.

“Saya pasti Pas sedang buat kajian berterusan mengenai kedudukan kerusi Pas dan Ikatan di Dun atau Parlimen mana.

“Pas parti besar biarlah dia buat kenyataan nanti mengenai bilangan kerusi Ikatan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditemui ketika hadir pada himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Putrajaya pada Sabtu lalu.

Menurut Abdul Kader lagi, Ikatan dan Pas masih belum mengadakan perbincangan mengenai mana-mana kerusi Parlimen dan Dun yang akan ditandingi dua parti itu.

Justeru katanya, hasrat Pas untuk meletakkan calonnya di semua kerusi Parlimen dan Dun pada PRU14 kelak, ujarnya, bukan satu keputusan muktamad.

“Kadangkala dalam politik ini keputusan mudah berubah.

“Pas pasti ada strateginya yang akan berubah dari masa ke semasa. Apa yang kita mahu keputusan di buat Pas itu akan menguntungkan Gagasan Sejahtera,” ujarnya yang merujuk kepada kesediaan Pas untuk bertanding 100 kerusi dalam PRU14 akan datang.

Ditanya sama ada Ikatan sudah menyenarai pendek calonnya untuk menghadapi pilihan raya, beliau berkata, Ikatan mempunyai ramai calon yang berkaliber untuk diangkat sebagai calon pilihan raya, tanpa mahu mendedahkan bilangan kerusi yang akan ditandingi Ikatan.

“Kami mempunyai tokoh yang layak, tapi kita tidak mahu kecoh nak bagi tahu berapa banyak kerusi, kerana belum ada apa-apa perbincangan dua pihak (Pas-Ikatan).

“Hingga kini tidak bincang langsung soal calon dan kerusi mana untuk Ikatan bertanding. Tunggulah..kita akan umum,” ujarnya.

Pada 18 Mac 2016 lalu Ikatan dan Pas telah menandatangani dokumen perjanjian kerjasama antara kedua parti politik itu sebagai blok ketiga dalam menghadapi PRU14.

Setakat ini melalui Gagasan Sejahtera telah menubuhkan pergerakan sayap pemudanya yang dikenali sebagai Pemuda Gagasan Sejahtera pada 18 November lalu.

Pemuda Gagasan Sejahtera juga dijangka akan mengadakan konvensyen mereka pada 24 Februari tahun depan.