Malaysia Dateline

Pas lebih kuat dalam PN bukan Bersatu, kata Tengku Razaliegh

Veteran Umno Tengku Razaliegh Hamzah berkata, Bersatu bukanlah sebuah parti yang kuat di dalam Perikatan Nasional sebaliknya parti Pas yang lebih menonjol dan dominan di dalam gabungan itu.

“Pas yang kuat dalam PN, mana ada Bersatu. Sila datang kawasan saya, hanya ada satu komiti sahaja. Tak ada Bersatu,” katanya dalam segmen temubual bersama Malaysian Insight yang disiarkan secara langsung hari ini.

Oleh sebab itu menurut Tengku Razaliegh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, akar umbi Umno melahirkan rasa bimbang kerana tidak mempunyai kawan di peringkat kawasan sehinggakan mereka tertanya-tanya yang mana satu kawan mereka.

“Mana kawan kita, dengan Pas ramai. Saya daripada dahulu lagi lawan Pas saja,” katanya.

Justeru katanya, Umno tidak perlu takut untuk bergerak solo dalam PRU15 nanti kerana Umno telah lama malah berpuluh-puluh tahun mempunyai pengalaman bergerak sendirian.

“Hendak berasingan, dan solo, apa hendak takutnya. Kita tak pernah henti berlawan dah bertahun-tahun,”ujar beliau.

PRU15 bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja lagi, pertelagahan di dalam Perikatan Nasional antara Umno dan Bersatu masih tidak dapat diselesaikan malah Pas yang menjadi orang tengah dalam menyatukan kedua-dua parti ini pun sudah buntu.