Malaysia Dateline

Pas lihat pendirian Presiden Umno, tidak kisah siapa dilantik

Pas mahu memerhatikan terlebih dahulu perkembangan terbaharu dalam Umno, terutama pendirian Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu-isu melibatkan kedua-dua parti.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, partinya tidak mempunyai masalah untuk meneruskan kerjasama dengan Umno walau siapa pun Presiden termasuk Zahid Hamidi.

“Kita tengok apa pendirian Presiden dia (Umno) dengan isu penting sama-sama kita, adakah sama? Kalau sudah tidak sama, kita nak kerjasama macam mana?” katanya ketika ditemui media di Kota Bharu hari ini.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, kerjasama Pas dengan Umno tidak akan terjejas selagi parti itu menghormati pendirian dan menyokong perjuangan Pas.

“Seperti Timbalan Presiden sebut, ini (kerjasama) parti dengan parti, bukan kita dengan Ahmad Zahid, atau dengan Mat Hasan (Datuk Seri Mohamad Hasan).

“Mana-mana parti yang menghormati pendirian kita, menyokong perjuangan kita, tidak ada masalah (untuk kerjasama), tak kira siapa pun yang jadi presiden dia,” katanya lagi.