Pas lupa Muktamar 2014 luluskan usul mansuh Akta Hasutan, kata Faiz

Pas lupa Muktamar 2014 luluskan usul mansuh Akta Hasutan, kata Faiz

Pas sepatutnya tidak lupa usul yang telah diluluskan dalam Muktamar tahun 2014 yang telah pun meluluskan usul supaya akta hasutan dimansuhkan.

Sebaliknya kini mereka berubah nada mempertahankan pula akta yang bersifat zalim dan drakonian.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil ketika ditemui selepas menyantuni penduduk di Permatang Pasir pada Isnin.

Faiz ketika menyantuni penduduk Dun Permatang yang akan menjalani pembedahan pada Isnin.

Jelas Faiz lagi, Pas kini bersikap flip flop dan telah hilang kompas perjuangan kerana tidak lagi berpegang kepada prinsip.

“Prinsipnya, kita menentang apa sahaja bentuk kezaliman kerana asas hukum syara’ adalah keadilan dan bukannya kepentingan politik.

“Jelas dan terbukti bahawa garis penentangan terhadap akta hasutan adalah kerana ianya bersifat zalim serta drakonian.

“Rakyat tidak menentangnya atau mendesak untuk dimansuhkan hanya kerana sifat pembangkang, tetapi adalah kerana kezaliman, ” ujarnya.

Tambah Faiz lagi, kezaliman akta ini beigtu ketara dan terserlah menyekat kebebasan bersuara sepertimana yang termaktub dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu katanya, sudah sewajarnya akta yang tidak memberi keadilan kepada rakyat ini tidak disokong.

Malah tegasnya, ia tidak lagi harus dipertahankan semata-mata atas dasar kepentingan politik tanpa memberi prioriti kepada keutamaan rakyat yang harus diberi pembelaan.