Pas mahu ambil tindakan undang-undang terhadap Nanyang

Pas mahu ambil tindakan undang-undang terhadap Nanyang

Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau berhubung penyiaran kartun yang menghina Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata tindakan akhbar itu bukan sekadar menghina dua pemimpin berkenaan tetapi satu penghinaan terhadap umat Islam dan undang-undang Islam.

“Pas tidak boleh berkompromi dalam perkara seumpama ini dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Untuk itu Pas telah melantik peguam dan mengarahkan agar tindakan undang-undang diambil dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata Pas juga menggesa Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula permit penerbitan akhbar berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Akhbar itu dalam satu kenyataan semalam memohon maaf dan mengakui penyiaran kartun itu adalah tidak wajar untuk tatapan umum.

Pada 8 April lepas, akhbar berkenaan menyiarkan sebuah kartun di portal mereka, yang menggambarkan seekor monyet memakai songkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’ manakala seekor lagi monyet memakai serban dan diberi label ‘Hadi Awang’.

Kedua-dua monyet berkenaan digambarkan sedang bertenggek di atas dahan sebuah pokok yang diberi label ‘Akta 355’.

Sementara itu di Petaling Jaya, Pas Selangor menyerahkan memorandum kepada akhbar berkenaan berhubung penyiaran kartun itu, antara lain menuntut akhbar itu membuat permohonan secara terbuka di akhbar berkenaan.

Memorandum itu diserahkan oleh Pemuda Pas Selangor Syarhan Humaizi Abdul Halim kepada Ketua Pengarang akhbar itu, Chan Aun Kuang pada 11 pagi tadi.

Di George Town, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof menggesa pihak media dan syarikat akhbar untuk tidak memaparkan berita mahupun gambar yang boleh menimbulkan kemarahan dan ketegangan antara kaum di negara ini.

Beliau berkata sebagai ‘orang tengah’ kepada masyarakat, pihak media perlu peka terhadap isu dan sensitiviti antara kaum.

“Kalau berlaku ketegangan kaum bukan senang nak selesaikan masalah itu,” katanya kepada pemberita selepas beliau dan beberapa wakil Dewan Pemuda Pas negeri bertemu dengan wakil akhbar Nanyang Siang Pau cawangan Pulau Pinang di pejabat akhbar itu di sini berhubung penyiaran kartun itu.

Muhammad Fauzi berkata Pas sentiasa terbuka dan bersedia untuk menjelaskan mengenai RUU 355 kepada orang bukan Islam dan menegaskan undang-undang itu tidak bersangkut paut dengan orang bukan Islam.

Di Kota Bharu, kira-kira 100 anggota Pemuda Pas Kelantan mengadakan perhimpunan di Tambatan Diraja bagi memprotes tindakan akhbar itu menyiarkan karikatur yang menghina pemimpin mereka.

Mereka turut bertindak membakar akhbar berkenaan.

Naib Ketuanya Mohd Ariff Abdullah berkata tindakan akhbar itu jelas tidak sensitif terhadap umat Islam di negara ini.

“Penyiaran karikatur itu sudah menimbulkan isu agama dan kami berharap insiden ini tidak akan berulang lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Tambatan Diraja, hari ini.

Mohd Ariff berkata rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama perlu bersama-sama menjaga keharmonian, serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain.