Pas mahu Dun tentukan siapa layak ganti MB Kedah

Pas mahu Dun tentukan siapa layak ganti MB Kedah

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu kemelut yang melanda kepimpinan kerajaan negeri Kedah ketika ini diselesaikan segera mengikut amalan demokrasi melalui Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pas menggesa agar masalah kepimpinan utama kerajaan Kedah ini diselesaikan dengan segera mengikut amalan demokrasi menerusi suara rakyat melalui DUN untuk ditentukan,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Selain itu, beliau juga berkata, asas demokrasi yang berakhlak dan beradab dalam menyelesaikan apa jua masalah yang melanda dalam negeri dan negara perlu dilakukan.

Katanya, ia perlu dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat berbilang kaum tidak terjejas.

“Pas berpegang pada lunas undang-undang serta asas demokrasi yang berakhlak dan beradab dalam menyelesaikan apa jua masalah yang melanda dalam negeri dan negara kita,” katanya.

Kemelut negeri Kedah tercetus apabila Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah serta pimpinan Umno negeri mengadakan sidang media menolak kepimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 20 Januari lalu.

Ia dipercayai susulan kelantangan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad mengasak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan mendesaknya berundur.

Susulan itu, Najib menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Tan Sri Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara, minggu lalu bagi membincangkan isu pertukaran menteri besar.

Satu pertemuan antara Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dengan Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Alor Setar juga diadakan hari ini.

Laman pro-BN pula melaporkan cakap-cakap bahawa Sultan Kedah sudah memperkenan pertukaran menteri besar dan pengumuman akan dibuat oleh Najib selepas pertemuan yang diadakan pada jam 2 petang ini.

TAGS