Pas mahu PDRM siasat segera Ramasamy atas tiga dakwaan tular di media sosial

Pas mahu PDRM  siasat segera Ramasamy atas tiga  dakwaan tular di media sosial

P Ramasamy

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)  menyiasat segera dakwaan ke atas Dr Ramasamy A/L Palanisamy atas pelbagai isu yang membabitkan dirinya.

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan berkata, terdapat tiga sebab yang memungkinkan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, boleh disiasat oleh pihak berkuasa negara ini.

“Pertama: beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang dan Adun DAP dikatakan terlibat dengan ‘kumpulan pemisah Tamil Sri Langka’ iaitu Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

“Ia berikutan gambarnya yang dikatakan terlibat dengan satu mesyuarat jawatankuasa LTTE.’The Council of European Union’ telah menyenaraikan semula LTTE sebagai salah satu pertubuhan pengganas pada 21 Mac 2018 yang lalu.

“Kedua,: Gambar yang telah ditularkan di media sosial baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan. Gambar beliau bersama Vaiko (Setiausaha Parti MDMK, India) yang telah dimuat naik di laman Facebook beliau bertarikh 14 Julai 2018, 11.41am dengan kapsyen, “YB. Prof Dr. P. Ramasamy with Mr. Vaiko, General Secretary of MDMK Party, India. Mr. Vaiko is in Penang now to attend Dr. Vijaya Bharath wedding reception (Admin)”.

” Vaiko merupakan seorang ahli politik India yang telah disenaraihitam oleh pihak imigresen. Beliau telah ditahan di KLIA pada 9 Jun 2017 dan perkara tersebut telah disahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafar Ali.

“Ketiga: satu gambar beliau bersama Adun Bagan Dalam yang menunjukkan sedang memberikan penghormatan kepada satu bingkai bergambarkan Kalashnikov (rifle AK-47) telah ditularkan di media sosial.

“Gambar itu dikatakan diambil dalam satu majlis yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan dua atau tiga tahun lalu. Kini, gambar yang ditularkan oleh individu yang bernama ‘Zamri Vinoth’ menerusi Facebooknya telah melancarkan satu petition supaya beliau dipecat daripada menganggotai kerajaan dan Adun kerana didakwa terlibat dengan LTTE,” ujar Nasruddin dalam kenyataannya hari ini.

Nasruddin berkata, siasatan menyeluruh perlu dibuat ke atas Ramasamy dan individu-individu lain yang terlibat kerana dakwanya lagi, dibimbangi boleh menggugat kestabilan politik dan keamanan di Malaysia.

“Tambahan pula beliau adalah ahli DAP dan memegang jawatan tinggi di Pulau Pinang dan statusnya boleh mempengaruhi hal-hal penting yang lain,” ujarnya.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote