PAS mahu pilihan raya, penyokong BN Terengganu pula tolak

PAS mahu pilihan raya, penyokong BN Terengganu pula tolak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketika PAS nampak mahu demokrasi terlaksana sepenuhnya dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri Terengganu dan pilihan raya negeri diadakan, para penyokong kerajaan negeri Terengganu pula sebaliknya, mereka menolak cadangan agar Dun di bubarkan.

Kelab penyokong Kerajaan Terengganu dalam satu kenyataannya berkata, pembubaran Dun bukan cara terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku di Terengganu sekarang.

“Ini kerana kita baru berada pada pertengahan penggal selepas Pilihan Raya Umum ke 13 dan pada dasarnya kesemua wakil rakyat sedang melaksanakan tugasnya dengan baik,” kata setiausaha kelab penyokong BN itu, Mohd Iskandar Jaafar sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

Adun Jabi itu berkata, jika pilihan raya diadakan ia melibatkan perbelanjaan yang besar sedangkan ia boleh disalurkan untuk kepentingan rakyat.

Desas-desus di Terengganu sekarang menunjukkan BN sedia untuk membubarkan Dun Terengganu selepas bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said tidak lagi bersama kepimpinan yang ada.

Beliau bersama-sama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut agar presiden Umno Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

BN Terengganu yakin Umno akan dapat menambahkan kerusinya dalam Dun Terengganu dengan mengambil balik beberapa kerusi yang dimenangi PAS dalam PRU-13 apabila parti Islam itu berpecah dan membentuk sebuah parti baru iaitu Amanah.

Mereka dikatakan yakin dapat mengambil alih sekurang-kurangnya lima dari 14 kerusi yang dimenangi oleh PAS dalam PRU-13 lalu.

PAS ketita ini terpinggir dari arus perdana politik negara apabila Pakatan Rakyat yang disertainya terbubar dan parti itu tidak pula menyertai Pakatan Harapan yang dibentuk oleh PKR, DAP dan Amanah.

PAS hanya bekerjasama dengan parti Ikatan yang terlalu kecil untuk memberikan apa-apa sumbangan kepada PAS.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri sebelum ini meminta agar pilihan raya diadakan semula di Terengganu selepas BN kini didakwa tidak mempunyai majoriti lagi selepas Ahmad Said tidak lagi menyokongnya.

Sehingga kini tidak diketahui ada atau tidak Adun BN yang lain yang menyertai Ahmad.

Usaha Ahmad untuk membuat undi tidak dipercaya di Dun telah ditolak oleh Speaker Dewan dengan alasan ia tidak melalui prosedur yang betul.

BN mempunyai 16 Adun di Terengganu termasuk Ahmad Said, manakala PAS (14) dan PKR (1). Dengan keluarnya Ahmad, BN dan pembangkang kini mempunyai sama bilangan kerusi dalam Dun Terengganu.

TAGS