Malaysia Dateline

Pas main dua kolam kerana ada logo halal, sindir MT Umno

Tindakan Pas bermain dua kolam yang dipertahankan oleh Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz rupanya kerana ia halal, sindir anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi.

Namun bagi bekas timbalan menteri itu, kejujuran politik yang diperlukan dalam kerjasama antara kedua-dua belah pihak.

“Rupanya main dua kolam ada yang halal dan ada yang haram. Yang halal ialah yang ditandatangani secara sah,” kata Puad menerusi Facebook beliau.

Puad mengulas laporan media Nik Abduh yang mendakwa “Main di kolam secara sembunyi lebih teruk” yang dipercayai ditujukan kepada Umno.

“Menarik juga pandangan sahabat saya Ustaz Nik Abduh ini,” kata Puad.

Menurut Nik Abduh, kata Puad, Pas memang main dua kolam.

“Tetapi secara sah. Maksudnya kolam kolam itu ada logo halal. Atau kolam yang disembelih,” kata Puad lagi.

Puad mengaku, memang tidak dinafikan, Pas menandatangani MOU dengan Umno melalui Piagam Muafakat Nasional.

Dalam masa sama Pas adalah ahli berdaftar Perikatan Nasional.

“PN juga sembelihan halal pada Pas,” kata Puad.

“Pendirian saya tetap sama. Dalam kerjasama politik, sah atau tidak, halal atau sembelih yang penting ialah ‘kejujuran politik’,” kata beliau dalm tulisan itu.