Pas makin realistik tahaluf dengan Umno?

Pas makin realistik tahaluf dengan Umno?

WAWANCARA: Apakah jalinan tahaluf siyasi di antara Umno dan Pas, dua parti yang berseteru ketat sejak lebih enam dekad lalu, bakal melakar sejarah baru politik Malaysia, khususnya menjelang PRU15 akan datang?

Apakah pula cabaran atau halangan yang mungkin melanda persefahaman politik ini, memandangkan ia bukan kali pertama Pas mengadakan muafakat dengan parti-parti berbeda? Adakah ia mampu kekal lebih lama atau terburai di tengah jalan?

Mungkinkah kali ini kepemimpinan Pas lebih realistik, mengambil iktibar daripada pengalaman lampau bersama Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat?

Persoalan-persoalan tersebut merupakan beberapa isu menarik berkaitan keputusan sebulat suara Muktamar Pas di Kuantan, yang dilontarkan kolumnis Malaysiadateline, AHMAD LUTFI OTHMAN dalam sesi wawancara Bersama DR MAZLAN ALI, pensyarah kanan politik dan polisi awam, Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Kumpur, baru-baru ini. Interbiu dijalankan di Ampang, Selangor.

Satu cabaran besar tahaluf siyasi ini, dapatkah Pas dan Umno menyelesaikan isu agihan kerusi dalam PRU15 nanti memandangkan fokus kedua-dua parti ini tertumpu kepada konstituensi sama, iaitu kerusi Melayu-Islam?

“Kejayaan perjanjian tahaluf siyasi ini sangat bergantung kepada kesediaan Umno untuk akur kepada keabsahan perjuangan Pas (negara Islam dan hudud) dan juga sejauhmana kesediaan Pas menerima hakikat Umno sebagai sebuah parti Melayu yang lebih dominan dan lebih berpengaruh berbanding Pas,” kata Dr Mazlan.

“Selain itu,” tambah penganalisis politik yang sering dijemput stesen TV ini, “Umno sebagai sebuah parti Melayu yang bersifat feudal juga menjadi cabaran besar untuk menjayakan matlamat politik terutama dari segi pengagihan kerusi.

“Justeru, Pakatan Harapan tentunya tidak boleh meremehkan kekuatan baru, yang bakal terbentuk nanti. Meskipun mungkin kerjasama politik ini tidak mampu merentasi kaum dan agama, serta lebih tertumpu isu-isu Melayu dan Islam sahaja, namun ia tetap dipercayai boleh menggugat kedudukan PH, khususnya apabila kelemahan pentadbiran kerajaan tidak diatasi dengan segera ataupun jika anggota Kabinet tertentu terus mempamerkan sikap tidak profesional dan kurang peduli suara rakyat.

Ahmad Lutfi Othman bersama Dr Mazlan Ali.

AHMAD LUTFI: Muktamar tahunan Pas di Kuantan baru-baru memutuskan sebulat suara sokongan kepada tahaluf siyasi dengan Umno. Apakah persefahaman politik Pas-Umno ini akan memberi impak besar terhadap lanskap politik tanahair, khususnya menjelang PRU15 nanti?

DR MAZLAN: Keputusan PRU14 yang lalu menunjukkan pertembungan tiga penjuru sedikit sebanyak merugikan tiga pihak sama ada Pas, BN atau Pakatan Harapan meskipun dalam beberapa keadaan, ia memberi kelebihan tertentu kepada antara ketiga-tiga parti tersebut. Ada parti yang memenangi kerusi tertentu disebabkan berpecahnya undi meskipun parti yang menang tidak dapat mengatasi jumlah undi yang digabungkan antara dua parti yang kalah.

Justeru, saya menilai tahaluf siyasi antara Pas dan Umno ini sudah pasti akan memberi kelebihan kepada pembangkang, namun saya tidak fikir permuafakan politik Pas-Umno ini mampu memberi kesan besar terhadap politik tanahair dan mampu menggugat kedudukan PH.

Ini kerana tahaluf siyasi Pas-Umno hanya boleh memberi impak yang besar di negeri-negeri “Malay based” seperti pantai timur dan utara Semenanjung sahaja. Malay heartlands ini bagaimana pun bilangan kerusi parlimennya tidak begitu banyak.

Tambahan pula persempadanan baru yang mungkin akan dilakukan serta trend sokongan politik Sabah dan Sarawak yang cenderung menolak politik agama dan perkauman yang diperlihatkan oleh Umno dan Pas pasca PRU14.

Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Sandakan yang memberi kemenangan besar kepada DAP baru-baru ini juga memberi mesej tersirat bahawa tahaluf siyasi di antara Umno dan Pas dilihat sebagai satu “agenda Melayu” semata-mata yang kurang popular di kalangan kelompok pengundi bukan Melayu, Melayu participant dan pengundi Sabah dan Sarawak.

Selain itu, mungkin akan timbul isu-isu dari tahaluf siyasi ini, misalnya siapakah yang akan mengetuai gabungan baru ini dan sejauhmana akar umbi akan menerima khususnya dari segi pengagihan kerusi.Umno adalah musuh tradisi Pas, dan parti Melayu ini tumbuh dan hidup dari warisan serta adat Melayu silam.

Parti feudal berasaskan penaungan ini mewujudkan lapisan warlord yang sengit bersaing di bahagian masing-masing. Sesama mereka pun bersaing dan sanggup “cah keting”, inikan pula mahu menyerahkan kawasan tradisi mereka kepada Pas.

Track record juga menunjukkan Pas tidaklah begitu cemerlang dalam isu pembahagian kerusi. Sewaktu dalam Pakatan Rakyat, Pas pernah melanggar janji setia misalnya meletakkan calon di Dun Kota Damansara, Selamgor dan Sungai Acheh, Pulau Pinang yang diperuntukkan kepada PKR dalam PRU13 yang lalu.

Maka di atas isu-isu yang disebutkan, saya menilai tahaluf siyasi Pas-Umno ini juga mungkin menimbulkan masalah dan kurang memberi impak kepada politik negara menjelang PRU15 akan datang.

Muktamar Pas menerima usul ini sebulat suara. Apakah ini bermakna langsung tiada bantahan daripada akar umbi parti dan semua ahli parti akur dengan kehendak pimpinan?

Pas sebuah parti politik yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangannya. Kenyataan tentang (Islam) itu disebut dengan jelas di dalam perlembagaannya dari segi tujuan dan matlamatnya

Dalam Pas, organisasinya sangat tersusun dan sayap perkaderannya sangat kuat. Seluruh jentera kepimpinan parti sama ada dari peringkat akar umbi, pertengahan dan atasannya diikat dengan sumpah setia perjuangan.

Dengan itu, Pas yang wujud dalam politik kepartian di negara ini umumnya bukan hanya dikenali sekadar parti politik oleh pemimpin dan ahli-ahlinya, tetapi juga sebagai jamaah Islam.

Justeru, konsep walak adalah sesuatu yang penting dalam parti ini, maka saya melihat tidak menjadi masalah dalam Pas untuk ahli dan pemimpinnya menerima keputusan tahaluf siyasi di antara Umno dan Pas ini.

Selepas krisis besar PAS tahun 2015 yang melibatkan pertembungan pemikiran antara kumpulan progresif dan kumpulan konservatif, dan selepas tersingkirnya kumpulan bukan konservatif yang akhirnya membentuk Parti Amanah Negara (AMANAH), perjalanan Pas yang diterajui kumpulan ulamak konservatif hari ini berjalan lancar tanpa adanya gugatan-gugatan idea progresif termasuklah kerjasama dengan Umno yang kemudiannya telah disempurnakan secara rasmi sebagai sebuah tahaluf siyasi yang akan mencorakkan masa depan pembangkang di negara ini.

Meskipun terdapat suara-suara yang menyuarakan tidak senang dengan perkembangan baru ini
(tahaluf siyasi), nanun ia hanyalah ibarat angin lalu sahaja.

Sebelum PRU14, sebahagian besar ahli Pas menentang sebarang kerjasama politik dengan Umno, sehingga Pas berpecah dan tertubuhnya Parti Amanah Negara. Namun kali ini, selepas Umno tidak lagi terajui kerajaan dan menjadi parti pembangkang, ahli-ahli Pas nampak seperti tidak bermasalah untuk membentuk persefahaman bukan saja dengan Umno, bahkan dengan MCA, MIC dan juga PBS.

Sejak tertubuhnya Pas pada tahun 1951, tujuan kewujudan parti itu adalah untuk menentang Umno. Pas pada era 1950-an dan 60-an melihat Umno sebagai sebuah parti yang tidak mempertahankan hak-hak orang Melayu dan terlalu bertolak ansur dengan bukan Melayu.

Isu-isu prakemerdekaan seperti persetujuan Umno menerima kerakyatan “jus soli” bukan Melayu yang menyaksikan berjuta-juta orang Cina dan India mendapatkan kerakyatan pada tahun 1958 dan selepasnya dan bersama-sama dengan Parti Negara yang dipimpin oleh Dato Onn, Pas menentang polisi-polisi kerajaan Perikatan yang dilihat sebagai merugikan orang Melayu.

Era 80-an, sikap Pas terhadap Umno lebih keras. Pendekatan parti Islam dengan konsep kepimpinan ulamaknya menganggap Umno sebuah parti sekular yang tidak ingin kepada Islam (Islamic state dan hudud).

Naratif Pas kekal bahawa Umno-BN adalah sebuah kerajaan yang dianggap jahiliah yang menyaksikan beberapa insiden tercetus seperti munculnya Amanat Hadi dan Peristiwa Memali.

Bagaimanapun, di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor dan era Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pas kelihatan agak terbuka dan selepas era reformasi (pemecatan Anwar Ibrahim), Pas konsisten menentang Umno sehingga PRU13.

Naratif Umno sebagai sebuah parti yang menentang Islam dan rasuah telah membentuk suatu pemikiran dan kepercayaan yang kuat di kalangan ahli dan pemimpinnya.

Oleh kerana itu, sebarang idea yang mempunyai kecenderungan untuk kerjasama atau bertahaluf siyasi dengan Umno akan ditentang habis-habisan.

Idea Unity Goverment (UG) yang pernah timbul selepas PRU 2008, telah menimbulkan bibit-bibit perpecahan dan menjelang kematian Tuan Guru Nik Aziz dan Muktamar 2015 di Kuala Selangor, Pas menghadapi perpecahan besar apabila sebahagian besar ahli dan pemimpinnya menubuhkan gerakan baru politik yang kemudiannya lahir Parti Amanah Negara.

Penyingkiran kumpulan progresif di dalam Pas meredakan sedikit penentangan tahaluf siyasi Pas dengan Umno, namun umumnya bantahan terhadap kerjasama politik dan hubungan rasmi dengan parti pemerintah selama 61 tahun itu tetap menjadi “taboo” sehinggalah berlangsungnya PRU14, Pas kekal mengambil sikap berkecuali dengan
membentuk gagasan politik yang berasingan daripada BN atau PH.

Bagaimanapun, kesan pertandingan tiga penjuru yang dilihat merugikan Pas dan sebaliknya menguntungkan PH yang berjaya menewaskan BN dan membentuk kerajaan Pusat, Pas nampaknya mula mengubah strategi.

Pada masa yang sama, reformasi dan perubahan-perubahan polisi PH yang lebih terbuka dan berbeza dengan pendekatan BN dahulu dilihat oleh Pas sebagai mengkhianati orang Melayu.

Isu pelantikan Menteri Kewangan, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan beberapa jawatan strategik lain di kalangan bukan Melayu telah membangkitkan sentimen nasionaliame yang meluas di kalangan ahli, penyokong dan pemimpin Pas.

Naratif perkauman dan agama mulai mengambil tempat dalam Pas dan pada masa yang sama, isu-isu yang sama juga diperjuangkan oleh Umno.

Persamaan tujuan dan sentimen yang dikongsi antara Umno dan Pas ini telah merapatkan hubungan kedua-dua musuh tradisi ini dan dalam beberapa PRK yang awal pasca PRU14, bibit-bibit kerjasama mula tersingkap.

Naratif perkauman dan agama terus ditiup dan dimainkan oleh dua parti ini dan menjelang PRK Cameron Highlands, momentum pembangkang mula meningkat.

Selepas kejayaan di Cameron Highlands, kerjasama ini berterusan dalam beberapa siri PRK seterusnya di mana BN berjaya memenangi PRK Semenyih dan Rantau. Bagaimanapun momentum mereka tersekat di Sandakan apabila Umno dan Pas gagal membantu rakan mereka, PBS.

Walaubagaimanapun, pengalaman yang diperolehi dari beberapa siri PRK itu menunjukkan bahawa kerjasama politik dengan Umno ini dilihat sangat penting oleh Pas kerana mereka merasakan bahawa PH boleh dikalahkan apabila semua pembangkang bergabung dan mengelakkan berlakunya tiga penjuru seperti yang telah terjadi dalam PRU14 yang lalu.

Justeru, di atas dasar maslahat, Pas melihat kejayaan dari kerjasama (taawun) dengan Umno ini perlu diteruskan dengan meningkatkan lagi hubungan sehingga ke tahap tahaluf siyasi seperti yang telah dipersetujui secara sebulat suara dalam muktamar di Bandar Indera Mahkota beberapa hari yang lalu.

Menurut pandangan Dr, apakah bentuk tahaluf siyasi Pas dengan Umno kali ini, dan apakah agaknya kandungan piagam yang bakal dipersetujui bersama kedua-dua parti ini?

Sebagai sebuah parti Islam, saya yakin bahawa Pas akan menggariskan tahaluf siyasi dgn Umno ini sama sebagaimana yang pernah mereka realisasikan dengan parti-parti yang dianggap sekular yang lain sebelum ini seperti Semangat 46, DAP, PKR dan lain-lain.

Hujah yang akan digunakan oleh Pas adalah bertahaluf siyasi (dengan Umno) yang bertujuan untuk memenangkan Islam.

Jika melibatkan parti-parti bukan Islam seperti MCA, MIC, Gerakan atau PBS, hujah lazimnya ialah
“tidak ada nas qat’ie yang menghukumkan haram berkerjasama dengan orang kafir, tetapi terdapat nas-nas yang menggambarkan ‘jawaz.

Masalah kerajaan campuran (dengan orang kafir) sebagai ‘harus jaiz’ dan ‘mubah’ pada sisi hukum syarak dan antara nas-nas yang mengharuskan hubungan dengan orang kafir ialah surah at-Taubah:6, al-Haj:40, an-Nisa:94, ali Imran:15, al-Maidah:35.

Saya percaya bentuk utama tahaluf siyasi Pas-Umno kali ini adalah terfokus kepada menghadapi PH secara satu lawan satu dalam PRU15 akan datang.

Tahaluf siyasi atau perjanjian persefahaman politik ini lebih terarah kepada memanfaatkan peluang yang ada bagi menyediakan satu pasukan pembangkang yang kuat utk menghadapi PH.

Ini termasuklah dari segi pembahagian kerusi, kerjasama dalam rapat umum parti serta kerjasama dalam kempen-kempen politik.

Yang hampir pasti piagam utama tahaluf ini adalah “Kesepaduan Ummah”, merujuk kepada penyatuan Melayu-Islam, berdasarkan kepada perkembamgan semasa sekarang.

Saya yakin, bagi mengimbangi tuntutan perjuangan antara dua parti yang berbeza ideologi ini, dua terma utama yang menjadi pegangan dua parti ini adalah Melayu dan Islam.

Melayu sangat sinonim dengan perjuangan Umno manakala Islam pula sinonim dengan perjuangan Pas. Kedua-dua elemen ini akan berpadu dalam konteks perjuangan antara dua parti yang bertahaluf ini

Bagaimana Pas dan Umno dapat menyelesaikan isu agihan kerusi dalam PRU15 nanti memandangkan fokus kedua-dua parti ini tertumpu kepada konstituensi sama, iaitu kerusi Melayu-Islam?

Ini adalah cabaran terbesar yang bakal dilalui oleh Pas dan Umno dalam tahaluf siyasi yang bakal dimaterai. Dalam sejarah tahaluf antara Pas dengan parti-parti lain yang tidak berlatarbelakangkan gerakan Islam, Pas sangat tegas dengan prinsip keabsahan perjuangan Islamnya iaitu Islam mesti berada di atas iaitu Pas yg memimpin, yang sudah pasti menuntut bilangan kerusi yang lebih banyak daripada rakan tahaluf.

Tahaluf siyasi antara Pas dengan Semangat 46 antara tahun 1988-1996 misalnya, menemui jalan buntu, kerana Pas enggan mengalah kepada tuntutan-tuntutan Semangat 46 dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan pimpinan Pas termasuk dalam perkara agihan kerusi.

Semasa bertahaluf dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, Pas enggan memurut kehendak rakan-rakan tahaluf apabila Pas merasakan kedudukan mereka kurang dominan. Dalam PRU13, PAs pernah melanggar kerusi-kerusi Kota Damansara, Sungai Acheh dan beberapa kerusi di Terengganu yang diperuntukkan kepada rakannya, PKR.

Dalam tahaluf yang bakal dimaterai dengan Umno ini, kejayaan perjanjian kerjasama politik ini juga sangat bergantung kepada kesediaan Umno untuk akur kepada keabsahan perjuangan Pas (negara Islam dan hudud) dan juga sejauhmana kesediaan Pas menerima hakikat Umno sebagai sebuah parti Melayu yang lebih dominan dan lebih berpengaruh berbanding Pas.

Selain itu, Umno sebagai sebuah parti Melayu yang bersifat feudal juga menjadi cabaran besar untuk menjayakan matlamat politik terutama dari segi pengagihan kerusi.

Pengaruh besar “warlord” di bahagian-bahagian Umno memungkinlan berlakunya “cah keting” atau sabotaj apabila kerusi yang sentiasa menjadi rebutan sesama mereka diserahkan kepada Pas yang merupakan musuh tradisi mereka zaman berzaman.

Presiden Pas menegaskan partinya tidak akan menuntut untuk menjadi ketua dalam gabungan baru ini nanti. Apakah ini petanda satu perubahan sikap yang positif Pas?

Kenyataan Datuk Seri Presiden Pas bahawa parti itu tidak akan menuntut untuk menjadi ketua dalam gabungan itu nanti adalah petunjuk positif bahawa Pas serius untuk mengadakan tahaluf siyasi dengan Umno untuk menghalang kemaraan PH dalam pentas politik alaf baru negara.

Saya menilai bahawa kenyataan Presiden Pas ini adalah ikhlas kerana sewaktu Pas bertahaluf dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat dahulu, Pas menerima kepimpinan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dari gabungan tersebut.

Kesediaan Pas untuk tidak menuntut menjadi ketua gabungan itu juga secara langsung menunjukkan bahawa Pas pada asasnya akur di atas realiti pengaruh Umno yang besar serta pengalaman luas sebagai sebuah kerajaan selama 61 tahun.

Ini juga bermakna Pas boleh menerima pemimpin dari Umno untuk mengetuai gabungan politik baru bertema Ummah ini dan sekali gus sebagai calon perdana menteri.

Keadaan ini sudah pasti akan mencerahkan lagi peluang perjanjian kerjasama dapat dilaksanakan tidak lama lagi antara Pas dan Umno. Ini sudah pasti akan menguatkan pembangkang untuk terus menekan PH sehingga menjelang PRU15 akan datang.

Seringkali isu hudud atau undang-undang syariah menjadi perselisihan di antara Pas dengan rakan-rakan sekutunya. Apakah kali ini perkara tersebut tidak akan menjadi pertikaian lagi.

Walaupun penubuhan negara Islam dan hudud menjadi keabsahan politik Pas, namun dari segi track record, Pas masih boleh berkompromi untuk tidak meletakkan isu negara Islam, hudud atau undang-undang syariah sebagai syarat dalam melakukan tahaluf siyasi.

Sewaktu dalam Pakatan Rakyat, hubungan Pas dengan DAP tidak dibuat berasaskan persetujuan menerima hudud dan negara Islam Pas.

Sewaktu era Pas di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, pendekatan Pas yang lebih sederhana dengan menekankan konsep Pas untuk semua dan negara berkebajikan membuktikan isu-isu hudud dan negara Islam tidak membatasi komitmen untuk bertahaluf siyasi dalam situasi-situasi tertentu.

Putusnya hubungan Pas dengan DAP disebabkan isu-isu yang lebih khusus seperti tindak-tanduk DAP yang dianggap mencabar keabsahan politik Pas dalam isu hudud.

Bagaimanapun Umno sejak perpecahan besar Pas pada tahun 2015 bersikap lebih lunak dalam isu-isu yang Pas perjuangkan seperti RUU355 dan kerajaan BN sebelum PRU14 telah memberi peluang sebanyak dua kali untuk Presiden Pas mengemukakan usul persendirian RUU355.

Umno juga kelihatan senada dengan Pas dalam isu-isu survival Islam dan pada masa yang sama Pas juga semakin lunak dengan isu-isu Melayu dan ketuanan Melayu yang Umno perjuangkan sejak sekian lama.

Saya fikir Pas dan Umno sudah mencapai titik persamaan dalam isu-isu Islam dan Melayu, dan mereka mungkin akan berjaya mengetepikan sebarang pertikaian yang mungkin timbul di masa depan.

Pas dikatakan lebih cenderung dengan pendekatan yang dilihat ekstrem atau memilih jalur keras dalam politik. Apakah dengan tahaluf ini, Pas sudah menganjak kepada pendekatan lebih sederhana?

Sejak bermulanya kepimpinan ulamak dalam Pas, parti itu kelihatan mendekati jalur keras dalam perjuangan politik mereka. Di tahun-tahun 80-an politik Pas diwarnai dgn pelbagai isu-isu besar seperti takfiri dan tragedi Memali. Permusuhan antara Pas dengan Umno begitu memuncak sehingga tahun 1990-an.

Namun sejak pemecatan Anwar tahun 1998, Pas kelihatan lebih terbuka dengan penekanan kepada beberapa fiqh politik, fiqh al awlawiyyat dan fiqh al muwazanat

Pas muncul sebagai sebuah parti politik yang dilihat relevan dalam politik Malaysia terutamanya selepas tahun 2008, berduyun-duyun orang bukan Islam datang kepada Pas yang mengambil sikap serius menyelesaikan permasalahan terhadap kehidupan manusia terlebih dahulu, sebelum berlakunya penetapan dan pelaksanaan hukum.

Bagaimanapun selepas perpecahan besar Pas tahun 2015, Pas kembali cenderung dengan pendekatan yang dilihat ekstrem atau memilih jalur keras dalam politik.

Meskipun Pas kini kelihatan bersedia membuka jalan tahaluf dengan Umno, ini bukan bermakna Pas sudah berganjak kepada pendekatan yang lebih sederhana. Pas masih tegas dengan keabsahan politiknya untuk menegakkan negara Islam dan hukum hudud, dan fokus Pas masih dalam lingkungan isu-isu Melayu-Islam.

Penerimaan Pas kepada politik orang bukan Melayu masih terhad dan diwarnai kecurigaan yang tinggi terutama DAP yang dilihat sebuah parti yang dianggap musih Islam dan berniat untuk menamatkan dominasi Melayu -Islam.

Tahaluf siyasi yang bakal dimaterai antara Umno dan Pas ini juga masih terhad dalam lingkungan isu-isu Melayu-Islam sahaja dan tidak bersifat menyeluruh merangkumi kerjasama dengan lain-lain kaum yamg bersifat rentas kaum.

Saya juga menjangkakan bahawa kolisi baru Umno-Pas ini akan membawa tujahan politik di atas nama kuasa politik Melayu baru yang bertujuan untuk mengalahkan PH dalam PRU15 akan datang

Bagaimana pula Dr jangkakan situasi politik di Sabah dan Sarawak kerana perkembangan melintasi Laut Cina Selatan itu mungkin berbeda dengan realiti di Semenanjung. Apakah di sana juga ada koalisi politik tersendiri?

Saya menilai politik Sabah dan Sarawak akan terus kekal dipengaruhi ciri-ciri dan isu-isu tempatan. Namun saya percaya bahawa rakyat dan pemimpin politik negeri-negeri Borneo ini sedang memerhatikan dengan penuh minat perkembangan politik yang sedang berlaku di Semenanjung Malaysia, terutama tahaluf siyasi di antara Umno dan Pas yang mampu memberi kesan kepada pola politik masa depan sama ada di Semenanjung atau negeri-negeri Borneo itu sendiri.

Umumnya, semenjak kekalahan BN dalam PRU14 yang lalu, kolisi politik yang telah memerintah selama 61 tahun itu kelihatan tidak menarik dan tidak relevan lagi bagi rakyat dan pemimpin politik Sabah dan Sarawak.

Tindakan beberapa parti politik dari Borneo menarik diri dari BN dan membentuk beberapa gabungan baru di negeri masing-masing menunjukkan bahawa politik Borneo kelihatan sedang mencari kekuatan dan arah tuju sendiri bertujuan untuk menghasilkan kuasa tawar menawar baru yang lebih kuat dalam konteks hubungan federalisme Malaysia.

Saya menilai rakyat dan politikus Sabah dan Sarawak sedang memerhati dan menilai perkembangan politik yang sedang berlaku di Semenanjung. Sudah pasti tahaluf siyasi Pas-Umno tidak akan menarik minat orang Borneo yang agak taboo dengan politik perkauman dan politik agama yang menjadi kiblat baru politik Umno-Pas.

Ini dibuktikan dengan kekalahan teruk yg dialami PBS yang dibantu oleh Umno dan Pas dalam PRK Sandakan yang lalu.

Bagaimanapun, PH sebaliknya kelihatan akan mendapat laluan yang lebih baik di negeri-negeri Borneo berikutan dasar-dasar politik dan pentadbiran yang lebih terbuka dan saya menjangkakan parti-parti politik Borneo pasti akan membuka ruang kerjasama dan penyatuan politik bersama PH di masa depan.