Pas masuk Umno tuduhan liar untuk bentuk persepsi, kata Khairuddin

Pas masuk Umno tuduhan liar untuk bentuk persepsi, kata Khairuddin

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (gambar atas) berkata, parti itu tidak pernah menjalinkan kerjasama dengan Umno atau berhasrat untuk menyertai salah satu parti komponen dalam BN.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin mengenai kebenaran wujudnya hubungan kerjasama Umno-Pas pada Forum Khas “Peranan Rakyat Dalam Mengurus Perbezaan Pendapat” anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN) di Universiti Kebangsaan Malaysia pada Khamis.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak Pas menegaskan, prinsip Pas yang sudah menjangkau 67 tahun itu tidak pernah berubah.

Pas ujarnya masih lagi mengamalkan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dan bantu-membantu (taawun) demi kepentingan Islam tidak mengira mana-mana parti politik,  tidak mengira dari parti pembangkang ataupun kerajaan yang memerintah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus ini juga berkata, Pas tidak akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja dalam perkara yang melibatkan hak yang dizalimi terhadap rakyat, pencerobohan terhadap Islam dan mengecilkan kuasa dan kedaulatan Islam di negara ini.

“Taawun dan tahaluf siyasi ini Pas menegaskan satu prinsip berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud: Bekerjasama atas dasar kebajikan dan takwa dan jangan kamu bekerjasama atas dasar dosa dan pencerobohan hak manusia.

“Berdasarkan prinsip ini, kita mengatakan bahawa Pas bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja merangkumi semua parti politik, NGO, orang perseorangan dan sebagainya yang bersedia menegakkan kebenaran, hak rakyat dan menegakkan agama Allah dalam kontek negara Malaysia dengan penegasan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan,” terangnya.

Katanya lagi jika timbul mengenai hasrat Pas menubuhkan ‘kerajaan perpaduan’ sebagai mana yang pernah dilontarkan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 2008 itu, adalah untuk menyatukan semua parti-parti politik di negara ini tanpa adanya parti pembangkang.

“Kerajaan perpaduan ini maksudnya lebih kepada merangkumi semua parti bukan bermakna Pas masuk Umno.

“Pas tidak mungkin masuk Umno dan Pas tidak mungkin masuk dalam BN. Ini prinsip Pas dalam berpolitik,” terangnya.

Justeru katanya mana-mana parti politik atau ahli parti yang menyokong prinsip Pas itu, adalah pihak yang sangat dialu-alukan untuk menjalin hubungan dengan Pas sebuah parti berlandaskan Islam itu berdasarkan kepada prinsip yang digariskan tersebut.

“Itulah pendirian kita (Pas) dari dulu hingga sekarang. Sesiapa sahaja yang bersedia dengan prinsip Pas dialu-alukan.

“Sama ada sebelum pilihan raya atau ketika berlaku pilihan raya atau selepas pilihan raya.

“Prinsip Pas tetap sama dan tidak akan berubah. Itulah prinsip yang kita pegang bersama Pakatan Rakyat satu ketika dulu dan ketika kita pernah bincang dengan parti Bersatu untuk jalinkan kerjasama.

“Adapun yang dikatakan Pas masuk Umno adalah tuduhan liar disebarkan bertujuan membentuk persepsi. Tidak berlaku sebarang gabungan dengan Umno,” ujarnya.

Antara panel yang turut hadir dalam forum diadakan ini adalah Pengerusi Yayasan Pesara Kerajaan (Pesara) Tan Sri  Alimuddin Mohd Dom, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Naib Presiden AMANAH Hasanuddin Mohd Yunus dan Ketua Penerangan  Bersatu Datuk Kamaruddin Md Nor.

Forum dipengerusikan Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid yang juga Pengerusi MDN.

Datuk Kamaruddin Md Nor

Menjawab persoalan yang sama Datuk Kamaruddin Md Noor tidak menolak kerjasama yang pernah cuba dilakukan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Pas melalui tahaluf siyasi untuk mengajak Pas bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang disertai PKR, AMANAH dan DAP tetapi usaha itu gagal.

Ketua Penerangan Bersatu itu secara peribadi turut berkata, beliau juga tertanya-tanya mengenai ‘kerajaan perpaduan’ (Unity Goverment-UG) yang dicadangkan Pas itu kerana dipercayai ahli akar umbi Pas sendiri, ujarnya menafikannya.

“Mereka kata tidak betul mengenai kerajaan perpaduan  itu, tiba-tiba ada kebenaran untuk melaksanakannya. Sama ada Pas nak buat UG  atau tidak itu maslahah, kita sebagai parti politik kena faham.
.
“PPBM pada peringkat awal telah berbincang dengan beberapa pimpinan Pas untuk sertai Pakatan Harapan tetapi tidak menjadi kerana Pas tidak mahu. Itu pilihan Pas kita hormati,” ujarnya.

Bagi Dr Asyraf Wajdi pula berkata, prinsip taawun telah dibincangkan dalam MPT Umno yang dinyatakan sendiri oleh Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Datuk Dr Asyraf Wajdi

Bagaimanapun Umno jelasnya lagi, lebih ke arah mengamalkan prinsip ‘taawun Islami’  berbanding tahaluf siyasi.

“Prinsip kita dengan Pas dan mana-mana parti politik berasaskan prinsip Taawun Islami bukan tahaluf siyasi.

“Ini bermakna kita boleh bekerjasama dalam perkara yang memberikan kebaikan kepada umat, perkara yang melibatkan prinsip yang harus semua parti bersepakati dalam konteks menegakkan dan memartabatkan asas-asas Islam itu sendiri dan kita tidak boleh berkompromi dalam perkara yang berdosa.

“Jika ini kita dapat sepakati bersama tidak akan timbul isu mana-mana parti politik harus meleburkan identiti parti masing-masing hanya kerana ingin duduk semeja.

“Jika kita boleh faham prinsip ini, kita boleh secara tidak langsung mendidik masyarakat dikalangan pemimpin sehingga ke peringkat akar umbi.

“Sudah pasti bukan sahaja Umno dan Pas (taawun) mungkin Umno dengan AMANAH, Umno dengan PPBM, Umno dengan PKR atau Umno dengan orang yang tidak berparti dan sesiapa sahaja kita boleh bersama atas dasar ‘taawun’alal biri wa taqwa’ (kerjasama dalam hal kebajikan dan ketakwaan),” ujarnya.

Forum yang dihadiri lebih 1,500 peserta ini anjuran bersama Majlis Perunding Perpaduan Ummah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Institut Islam Hadhari, UKM, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Persatuan Ikram Malaysia (Ikram).

Forum ini adalah sebahagian daripada aturcara dalam Konvensyen Rakyat: Menyelusuri Akar Umbi ke Arah Perpaduan Ummah.

Ia diadakan sebagai kesinambungan kepada Konvensyen Memperkukuhkan Pasak Negara yang pernah diadakan pada Ogos 2017 lalu oleh MDN.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote