Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek menganggap individu yang melompat parti bukan sahaja melakukan pengkhianatan, bahkan menyusahkan banyak pihak.
Memetik akhbar Berita Harian, Kamarudin juga berpendapat bahawa tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di negeri itu.
Katanya, ketika ini mana-mana parti yang membentuk kerajaan dilihat tidak stabil susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri.
“Langkah terbaik adalah mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan baharu. Lompat parti bukan sahaja satu pengkhianatan, bahkan menyusahkan banyak pihak.
“Kesan gangguan kepada pentadbiran kerajaan juga perlu diatasi selepas ini bagi mengelakkan kejadian sama kembali berulang,” katanya memetik akhbar BH hari ini.
Semalam, empat ADUN yang menyokong kerajaan, mengumumkan hilang kepercayaan, sekali gus menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Perkembangan itu menyebabkan kerajaan negeri tumbang dan telah dibubarkan.
Sementara itu, Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, keahlian Noor Effandi dalam Bersatu sudah tergugur secara automatik sejajar dengan perlembagaan Bersatu yang melarang tindakan menarik sokongan kepada pemimpin tanpa persetujuan parti.
Mengulas lanjut Mohd Rafiq berkata, Perikatan Nasional (PN) Melaka juga sedang mengajak Umno berunding bagi mengelakkan pertembungan kerusi bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, hanya selepas Umno menyatakan pendirian sama ada bersedia membuka pintu rundingan atau sebaliknya, barulah PN akan membuat ketetapan jumlah kerusi yang akan ditandingi mereka.
“Yang pasti Bersatu tidak akan bertembung dengan Pas kerana kami sudah bersepakat untuk mengelak pertembungan sesama sendiri,” katanya pada sidang media di sebuah hotel.