Pas memang sah ganti Umno, kata Amanah Perak

Pas memang sah ganti Umno, kata Amanah Perak

Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoal sikap Pas yang seolah-olah menjadi jurucakap rasmi Umno Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata, Pas kini betul-betul mengaplikasi slogan ‘Pas Ganti Umno’ (PGU) yang dilaungkan suatu ketika dahulu termasuk mengamalkan sikap buruk Umno-BN.

“Amanah cuba nak jauhkan daripada berkonfrontasi selain daripada dengan BN. Saya tak faham kenapa mereka perlu serang kami. Kita tak berlawan dengan Pas…

“Yang memerintah Malaysia bukan Amanah tapi BN, mengapa tidak ditujukan peluru mereka itu kepada BN. Adakah mereka sekarang ini menjadi jurucakap rasmi kepada Umno sesuai dengan slogan mereka dahulu ‘Pas ganti Umno’ maknanya perangai Umno yang buruk, Pas yang ganti,” katanya dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar hari ini.

Asmuni berkata, Pas mendakwa mereka mengamalkan politik matang namun apa yang dilakukan tidak menggambarkan kematangan dalam berpolitik.

“Sebelum ini dalam ceramah Pas mereka mempersoalkan baju oren kami. Peduli apa kami nak pakai baju oren ke baju kuning. Kita pun tak persoalkan mereka pakai baju hijau. Pakailah apa nak pakai asalkan tidak mencolok mata.

“Kita pun tak persoalkan nama mereka. Ini yang sebut PAN, kuali, ini bukan politik matang tapi politik kebudak-budakan.

“Kalau macam ini keadaannya saya tak tahulah bagaimana survival politik mereka dalam politik Malaysia yang semakin terbuka, membicarakan kepentingan rakyat. Bukan perkara kebudak-budakkan,” bidasnya.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam ceramahnya di Kuala Kangsar baru-baru ini menyifatkan Amanah sebagai parti ‘nanar’ yang bermaksud bengong.

Beliau juga mendakwa warna logo Amanah sama seperti warna pakaian tok sami.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dalam ceramahnya juga di Kuala Kangsar menggelar Amanah sebagai PAN iaitu kuali dan boleh digunakan untuk menggoreng.

COMMENTS

Wordpress (0)