‘Pas memang terima duit Umno’

Ahmad Lutfi OthmanDeraf awal tulisan di bawah ini saya siapkan lebih dua minggu lalu. Tentunya apabila dibaca dalam konteks hari ini, ia boleh dianggap bagai “tertinggal keretapi”. Banyak perkembangan baharu berlaku. Tepat sekali kata bijak-pandai, dalam politik seminggu sudah terlalu lama.

Dalam tempoh 15 hari itu, saya pula uzur berpanjangan. Penglihatan makin kabur. Dua tiga kali temujanji dengan pakar mata Hospital Shah Alam sebagai persiapan operasi pembedahan kali kedua terpaksa ditangguhkan.

Musim panas terik tambah memburukkan tahap kesihatan saya. Rutin dialisis memerlukan pengambilan jumlah cecair disukat. Saya lebih suka terperap di rumah, malah menghabiskan banyak masa terbaring di atas katil. Daya fokus juga semakin terhad dan tidak mampu bertahan lama. Kunjungan tetamu juga dibataskan.

Sikap politik Pas menjelang PRU14 memang meruntun minat dan perhatian saya. Polemik dakwaan Pas terima duit Umno ketika itu, waktu Najib Razak bergelumang skandal mega 1MDB, dianggap fitnah jahat dan pembohongan besar.

Pas, bagi saya, berdasarkan pemerhatian terhadap aksi dan reaksi beberapa pemimpin kanannya, sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Umno. Cuma ia terhalang kerana dikhuatiri apa-apa persefahaman atau strategi politik dengan Umno akan menimbulkan bantahan atau pemberontakan ahli-ahlinya. Ya, senario sebelum PRU14 dengan realiti masa kini cukup berbeda.

Saya bercadang menghuraikan episod itu, termasuk isu cek RM1.4 juta yang dihayar bagi pihak Presiden Pas kepada Sarawak Roport, dalam kesempatan akan datang. Sebelum itu, eloklah dibaca catatan santai mengenainya terlebih dahulu, yang ditulis dua minggu lalu:

Dakwaan Pas menerima dana besar daripada Umno (atau pemimpin Umno) belum berakhir walaupun sudah ada penyelesaian di luar mahkamah dengan Sarawak Report.

Ceritanya masih bersimpul-simpul, penuh tanda tanya dan kemusykilan. Mengapa selepas jutaan ringgit dihanguskan untuk kos perbicaraan, tiba-tiba sahaja “brek tangan ditarik ketika kereta meluncur laju”.

Kalau kos guaman terlalu mahal, apakah ia tidak dapat dijangka sejak awal? Bukankah bagi Pas, soal maruah, nama baik dan harga diri tiada galang gantinya? Duit boleh dicari, derma mampu dikutip, tabung jihad mudah dilancarkan, tetapi izzah parti tiada taruhan.

Ramai bertanya, mengapa tidak dipilih untuk saman Husam Musa dan Mahfuz Omar kerana mereka rakyat tempatan dan tidak perlu bersusah-payah ke London? Dua Naib Presiden AMANAH itu turut mendakwa Pas menerima dana Umno, cuma angka berbeda-beda. Bagi Husam, jumlahnya lebih RM90 juta, sementara Mahfuz mengemukakan slip bank RM2.5 juta telah dimasukkan ke dalam akauan pilihan raya Pas negeri Terengganu.

Lebih lanjut, banyak pihak mempersoal, mengapa tiada terma khusus dalam penyelesaian di luar mahkamah itu syarat yang memastikan dakwaan Sarawak Report bahawa Pas terima dana Umno mesti ditarik balik. Saya pun keliru. Sedangkan isu sebenar adalah tohmahan jelik tersebut. Ia mesti dipadamkan. Permohonan maaf harus dituntut.

Tuduhan Pas terima duit Umno juga dikaitkan dengan audio Nik Abduh Nik Abdul Aziz, yang dirakam dalam satu pertemuan dalaman, dihadiri lebih kurang 40 orang aktivis Pas.

Pertama kali mendengar pendedahan suara itu, saya tidak syak lagi ia milik Nik Abduh. Bukan hanya soal gemersik dan lantunan suaranya, tetapi lebih kepada cerita dan kisah yang terangkum dalam audio itu. Terlalu sukar dan payah untuk mereka-reka hikayat jika ia sebenarnya tidak datang daripada Nik Abduh sendiri.

Malah bagi saya, video visual lebih mudah dilakonkan daripada rakaman audio, apatah lagi dalam tempoh yang panjang, berdurasi hampir 21 minit. Begitu juga dengan nama-nama yang disebut berulang kali, seperti Suwardi, Maulana Shaari dan lain-lain. Tidak mudah “penulis skrip” untuk menghadam latar belakang kisah tersebut jika ia semata-mata lahir daripada imiginasi dan khayalannya.

Apabila Nik Abduh mengakui audio itu adalah suaranya, maka tidak berbangkit lagi penafiannya sebelum itu yang mendakwa ia merupakan fitnah sampah oleh pemimpin AMANAH. Ramai pemimpin tertinggi Pas menyokong Nik Abduh atas alasan dia terpaksa berbohong demi menyelamatkan parti, khususnya ketika tarikh PRU14 begitu hampir sekali.

Maka pembohongan Nik Abduh itu terpaksa dijustifikasi dengan pelbagai alasan. Sedih sekali. Termasuk hujah yang menyandarkan seerah nabi-nabi dan pengalaman Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Dibimbangi, selepas ini pembohongan sudah menjadi kelaziman dan lumrah, atas daleh perjuangan atau motif yang didakwa luhur dan baik.

Sebenarnya kandungan audio Nik Abduh itu mempunyai cerita yang lebih besar dan mendebarkan. Selain pengakuan menerima dana (atau rasuah politik) Umno, tidak kiralah berapa jumlahnya, timbul isu lama mengenai RUU355, manipulasi Suwardi dan Jamil Khir, Umno banyak bantu menjayakan program-program Pas (termasuk membersihkan parti daripada jebon dan parasit).

Saya tidak dapat mengesan di mana perbincangan ilmiahnya, seperti dakwaan Presiden Pas, tetapi ia lebih menggambarkan personaliti sebenar Nik Abduh, misalnya gelembongnya tentang hubungan rapat dengan CIA dan kekagumannya terhadap kehebatan tidak terperi Maulana Shaari.

Di luar rakaman audio itu, sejak lama sebelum PRU14, saya menaruh syak ada semacam persefahaman di antara sebilangan tertentu pimpinan tertinggi Pas dengan Najib Razak. Tidak semua maklum akan gerakan sulit itu, termasuk beberapa pemimpin kanan parti. Mohamad Sabu sendiri mengakui banyak langkah sulit dalam parti dibuat tanpa pengetahuannya ketika dia timbalan presiden.

Najib juga turut mendedahkan, memang rancangan pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 dibuat untuk memastikan BN kekal berkuasa, ekoran eksperimen PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Pas diyakini dapat menarik sebahagian besar undi kelompok yang menentang Umno-BN.

Strategi Pas meletakkan calon paling ramai, sekitar 160 kerusi Parlimen, adalah bertujuan untuk memastikan Najib-BN bertahan, dan mereka percaya akan membentuk kerajaan campuran selepas 9 Mei 2018. Itulah makna di sebalik angan-angan Pas menjadi “king maker”.

Seorang kenalan saya yang juga pernah berkawan rapat dengan seorang personaliti yang disebut dalam audio itu berkata: “Walaupun usaha membawa Pas bekerjasama dengan Umno gagal dimetrai semasa PRU14, sudah ada broker politik di pihak Haji Hadi dan Najib yang menjadi kaya raya dan senang-lenang.” Dan kawan saya itu menyambungnya dengan gelak besar.

Sementara itu seorang lagi teman, bekas pemimpin Pas dan kekal dalam parti itu sehingga kempen PRU14 memberitahu saya: “Jumlah sebenar Pas terima duit Umno tak dapat dipastikan, tetapi yang pasti, memang Pas ambek duit Umno.”

Saya kira kita baru didedahkan dengan babak-babak awal drama yang masih panjang.

(bersambung lagi)