Malaysia Dateline

Pas memperdagang Islam apabila persoal akidah, berbohong dan memfitnah

Pendekatan politik Pas dilihat bukannya perjuangan demi Islam seperti yang dicanangkan sebaliknya memperdagang Islam.

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin berpendapat pelbagai perkembangan semasa menyaksikan Pas berdiam diri tidak seperti ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Jika Pas mahu berpolitik sehingga sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja pun, nak tulis surat dalam bahasa apa kepada sesiapa pun, itu hak Pas dan terpulang kepada Pas.

“Cuma apabila Pas mendakwa kerja buatnya demi Islam, dicanang di sina-sini sampai sanggup mempersoalkan aqidah orang Islam lain dan berbohong serta memfitnah, ini bukan lagi demi Islam.

“Ini namanya memperdagang Islam,” tegas Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu dalam akaun Facebook miliknya.

Untuk rekod, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam surat berbahasa Arab bertarikh 22 Mac lalu mengaitkan kerajaan PH dengan gerakan Zionis, Freemason dan liberalisme serta mendakwa AMANAH bersifat Islam liberal.

“Presiden Pas menulis surat kepada pemimpin gerakan Islam di Timur tengah menyebut kelompok itu sekular, kelompok ini liberal dan memfitnah Anwar Ibrahim. Memfitnah demi Islam?” bidas Ustaz Zolkharnain.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Pas berkempen untuk MCA dalam PRK Parlimen Tanjung Piai pada November tahun lalu walaupun MCA secara terbuka menolak hudud yang disebut oleh Pas sebagai nyawa.

“Demi Islam juga? Sehingga kini Pas diam apabila ketua MCA menyebut, pemandu mabuk naiklah Grab.

“Semasa belum berada dalam kerajaan, Pas begitu lantang menyerang PH dengan isu ini. Ini pun demi Islam juga?” soalnya.

Menurutnya, Pas juga sekarang sudah tidak bersuara tentang Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 selain berkerjasama dengan Umno yang pernah dikafirkan melalui Amanat Haji Hadi pada 1981.

“Pas berhimpun di Padang Merbok untuk tuntut pindaan RUU 355. Kini sudah senyap bahkan tidak disebut langsung seperti diratib sebelum ini. Hal ini pun demi Islam?

“Kini Pas gigih sekali bersama Umno, parti yang dikafirkan oleh Pas suatu masa dulu. Setelah Umno tumbang, Pas beri nyawa kembali. Demi Islam semua ini?” tempelaknya.

Turut dikritik Ustaz Zolkharnain ialah tindakan Pas mengkafirkan sesama umat Islam atau takfiri serta bersekongkol dengan dalang kudeta politik yang dinamakan sebagai “Langkah Sheraton” sekali gus meranapkan kerajaan PH pada Februaru lalu.

“Pemimpin Pas jiratkan pemimpin PH. Ada yang dipukul, dimaki dan dikafirkan padahal semua pemimpin PH tadi adalah Muslim. Kafirkan orang Islam pun demi Islam?

“Pas merestui bahkan terlibat dengan Langkah Sheraton untuk jatuhkan kerajaan sah PH melalui pintu belakang dan tebuk atap. Sokong kleptokrat sebegitu pun demi Islam?” hujahnya lagi.

Terdapat sejumlah pemimpin Pas di pelbagai peringkat sebelum partinya menjadi komponen kerajaan tebuk atap PN memang dikenali menggunakan bahasa kasar di media sosial dalam menyerang PH.

‘Menjiratkan’ pemimpin PH misalnya merujuk pada ‘fatwa’ Yang Dipertua Pas Padang Serai, Kedah, Shaharuddin Ibrahim terhadap pihak yang dianggapnya tidak menyokong RUU355 yang dibawa Presiden partinya.

“Kak Wan, Kak Wan kena angkat tangan (sokong usul Abdul Hadi). Kalau Kak Wan tak angkat tangan, boleh menyebabkan jatuh iman.

“Kalaulah ditakdirkan lepas angkat tangan itu (Kak Wan) mati, kami tanam jirat,” katanya yang merujuk kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Shaharuddin sebelum itu dalam ceramahnya pada Jun 2016 pula pernah menuduh kerajaan Pulau Pinang melarang azan dikumandangkan di negeri itu.