Pas mengubah Umno-MCA atau mereka yang mengubah Pas?

Pas mengubah Umno-MCA atau mereka yang mengubah Pas?

ULASAN: Bukan cuaca sahaja banyak berubah kebelakangan ini sejak ‘global warming’ – pemanasan cuaca bumi ini. Manusia juga banyak berubah mengikut musim. Hendak hendak bila sampai musim Pilihan Raya Kecil (PRK).

Contohnya di PRK di tanah tinggi Cameron Highlands di suhu yang kononnya dingin, sebuah parti yang mendakwa pejuang Agama dan Melayu menyeru mesti undi orang Islam.

Di PRK Tanjung Piai pula di mana suhunya panas seperti biasa, parti yang sama berkata tidak wajib pula undi orang Islam walaupun dia seorang Imam masjid kerana kononnya hendak meramaikan orang bukan Islam di Parlimen. Padahal semasa PRU13 yang lepas parti tersebut tekankan wajib memilih calon Islam supaya dia boleh mengimamkan sembahyang.

Jarak masa dua PRK tersebut hanya beberapa bulan dan jarak jauh fisikalnya kedua tempat tersebut pula tidaklah menyeberangi benua pun.

Dari isu akidah dan agama, kita beralih pula pada isu ekonomi orang Islam dan Melayu pula yang kononnya dijuarai oleh dua parti Islam dan Melayu yang menekan perlunya “buy Muslim first” – beli produk orang Islam terdahulu. Kita tidaklah mempertikaikan sangat konsep tersebut jika ianya dibuat dengan nawaitu ikhlas menolong orang yang susah dan kurang maju ekonomi mereka.

Tidak berapa minggu kemudian konsep “buy Muslim first” yang kononnya hendak membantu orang Islam dan Melayu telah hilang semangat dan keutamaannya selepas PRK Tanjung Piai.

Beratur tersusun rapat di belakang pemimpin MCA, Wee Ka Siong, yang mereka telah bantu menewaskan seorang imam masjid di Tanjung Piai, beberapa pemimpin Pas bersama telah kononnya mendedahkan di sidang media “salah laku” kerajaan PH.

Kononnya “salah laku” tersebut adalah kerana Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ada menulis surat kepada Perdana Menteri untuk menimbang memberi kontrak utama tertentu kepada Nafas yang mempunyai ahli seramai 920,000, atau hampir satu juta, yang boleh dikatakan majoriti sangat besar orang Islam dan Melayu pada waktu mereka menghadapi ekonomi mereka yang lemah. Kontrak tersebut belumpun dimuktamadkan. Dalam keadaan tertentu kerajaan berhak menentukan cara pemberian kontrak apatah lagi dalam membantu golongan yang sedang susah.

Apa jadi pada semangat serta roh berjuang berkobar-kobar untuk membela Islam dan Melayu melalui kempen bantu Islam serta Melayu “buy Muslim first” beberapa minggu lepas? Kononnya hendak membela golongan mereka yang susah.

Adakah semangat tsunami membantu kemenangan calon MCA ke atas Imam dari PH merubah prioriti pejuang-pejuang kempen “buy Muslim first” apabila Putrajaya terbayang menggamit mereka? Adakah terbayangnya mencapai kuasa di Putrajaya dengan bantuan MCA boleh mengaburkan dan memabukkan seseorang?

Bukankah ahli-ahli terbesar Nafas terdiri daripada orang asal tempatan petani, peladang dan pensawah dari kampung dan desa yang susah? Kalau mereka tidak diberi perhatian siapa lagi yang patut diberi keutamaan di bidang pertanian ini?

Yang paling aneh dan pelik ialah kenapa ahli-ahli Parlimen Pas memberi peranan utama kepada Presiden MCA untuk menjadi jurucakap utama semasa sidang akhbar di Parlimen sementara mereka tunduk berdiri di belakang Wee Ka Siong?

Di mana suara lantang mereka seperti kedengaran semasa kempen “buy Muslim first” dahulu nak bantu Islam dan Melayu yang susah?

Mengapa mereka berkempen aktif membantah kontrak untuk Nafas dan diberi keutamaan pula kepada Wee Ka Siong berucap? Kenapa tidak bersuara sendiri? Adakah Pas telah melantik Presiden MCA untuk menjuarai kempen “give Nafas last” ? Kenapa tak berdiri di hadapan dan berucap sendiri?

Di manakah suara pemimpin Pas semasa skandal 1MDB di bawah Umno-Najib dahulu meletup di seluruh dunia? Duit pencen yang diseleweng banyak dari pesara kerajaan tetapi Najib lagi penting bagi mereka.

Di mana suara pemimpin Pas dalam isu beratus juta telah dibayar untuk 6 helikopter tentera yang sebuah pun belum dihantar di bawah Umno dahulu?

Di mana suara mereka dalam skandal 6 kapal perang berharga RM6 bilion dari negara China yang telah dibayar sehingga kini belum sampai sejak masa Umno-Najib dahulu? Pesara dari Angkatan Tentera Laut – Navy telah membuat laporan bantahan mereka sendiri.

Kalau mereka pembela tulen orang Islam dan Melayu susah bukankah sebahagian besar tentera kita terdiri dari golongan yang perlu pembelaan?

Sebenarnya mereka lebih berminat membela Islam dan Melayu elit “Umno-Putra” daripada membela petani, peladang dan anggota tentera yang kekurangan alat ketenteraan yang lengkap.

Mereka lebih sayang melindungi Datuk Seri Najib dari Umno untuk kepentingan berkongsi kuasa politik dengan BN daripada membela rakyat dan tentera yang lama terabai.

Ditakdirkan ada pula PRK waktu terdekat ini apa pula saranan mereka pada pengikut mereka?

Sejak berkawan rapat dengan Umno, Pas sudah mula mengubah sikap serta haluan mereka.

Semasa membantu MCA untuk menang di PRK Tanjung Piai penyokong mereka disaran tidak penting lagi keutamaan memilih seorang imam masjid yang dahulunya dikatakan penting pemimpin boleh memimpin solat jemaah.

Beberapa hari selepas menang PRK Tanjung Piai pula, Presiden MCA dilantik berdiri di hadapan berucap memimpin kempen menidakkan keutamaan Nafas diberi prioriti kontrak Kementrian Pertanian sementara ahli Parlimen Pas berdiri di samping beliau.

Wajah Pas mana pulak akan kelihatan ditakdirkan ada PRK dalam waktu yang akan datang?

Rakyat tunggu dengan penuh debaran transformasi Pas dalam gandingan mereka bersama Umno dan MCA.

Adakah Umno dan MCA akan mengubah Pas, atau adakah Pas akan mampu mengubah mereka selepas mengamalkan budaya pekat BN selama 62 tahun?

Apapun, Pas sudah kelihatan bersedia dan selesa berdiri diam sebelah Presiden MCA, yang hanya mempunyai 2 kerusi Parlimen sementara Pas yang mempunyai 18 kerusi Parlimen, sementara Wee Ka Siong cuba mengagalkan usaha kerajaan hendak membela nasib petani dan peladang yang susah di bawah Nafas.

Itulah wajah baru Pas sejak berdamping dengan Umno dan MCA kebelakangan ini.

* Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.