Malaysia Dateline

Pas minta hanya yang berintergriti sahaja sertai kabinet

Presiden Pas meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya memilih pemimpin yang berintergriti sahaja menyertai kabinet beliau.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya berkata, beliau telah menyatakan pandangan beliau agar individu yang dilantik untuk menganggotai Jemaah Menteri adalah terdiri daripada kalangan yang berintergriti, berkelayakan, berkemahiran serta mewakili masyarakat majmuk.

Hadi berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini selepas beliau diminta pandangan awal oleh Muhyiddin berhubung dengan pembentukan kabinet yang baru.

Semalam usaha Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk pergi berunding dengan Muhyiddin tidak kesampaian apabila Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataannya berkata Muhyiddin tidak ada sebarang jadual untuk bertemu dengan mana-mana pemimpin politik.

Perkara ini dinyatakan Zahid kepada mahkamah dan meminta menangguhkan kes beliau.

Sehingga kini, antara pemimpin Umno yang sedang dibicarakan atas dakwaan rasuah adalah Datuk Seri Najib Razak, Zahid, bekas Setiausaha Agong Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Datuk Seri Azeez Rahim.

Sementara itu, para penyokong Umno membantah tindakan Muhyidin mahu melantik Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai timbalan perdana menteri.

“Hishamuddin adalah pembelot Umno,” kata Datuk Zaharin Yassin dalam satu kenyataannya secara live di facebook beliau.

Sementara itu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mula diserang oleh para penyokong Muhyidin.

“Zahid Hamidi bukan saja penyamun dan perompak, tapi cuba menipu mahkamah. Pemimpin macam inikah rakyat mahu sanjung dan bangga,” tulis Mohamed Noor Jaafar, bekas wartawan yang juga penyokong tegar Muhyiddin.

Kelmarin Zahid telah dikenakan tindakan menghina mahkamah selepas beliau memohon untuk menangguhkan perbicaraan ke atas beliau dengan alasan untuk merundingkan pembentukan kabinet.

Ini kerana selepas permohonan itu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataannya berkata, tidak ada sebarang pertemuan dengan pemimpin politik pada hari tersebut.

Mahkamah telah menggugurkan tindakan menghina mahkamah itu selepas Zahid memohon maaf kepada mahkamah.