Malaysia Dateline

Pas minta Tabung Haji jelaskan kekeliruan berkaitan subsidi kos haji

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) meminta jasa baik pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (LTH) untuk menjelaskan kekeliruan yang berbangkit berhubung subsidi kos haji.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu subsidi haji harus dibincangkan secara teliti agar dapat diselaraskan dengan baik dan menjadi polisi tetap LTH.

“Jika dirujuk dalam laman web LTH, ia menyatakan bahawa pelaburan CSR yang terbesar dan terpenting ialah peruntukan subsidi haji.

“Ia juga disifatkan sebagai usaha untuk menjaga kebajikan para jemaah haji Malaysia. Namun begitu, sejak tahun lalu, Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof telah memberi signal bahawa rasionalisasi subsidi haji akan dijalankan secara berperingkat berdasarkan konsep istito’ah.

“Hal ini bermakna, kos haji tanpa subsidi dengan kadar semasa sebanyak RM22,900 dan kemungkinan akan meningkat setiap tahun perlu ditanggung oleh rakyat. Adakah keistimewaan subsidi haji akan dikurangkan secara beransur-ansur?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut mempersoalkan kewajaran LTH menetapkan polisi subsidi haji.

“Adakah wajar LTH menetapkan polisi subsidi haji akan diberikan kepada semua pendeposit samada mereka yang menunaikan haji melalui muassasah atau syarikat swasta yang berdaftar dengan LTH kerana sumber subsidi diperolehi daripada hasil keuntungan pelaburan dana pendeposit?

“Hal ini bermakna, semua warganegara Malaysia yang pertama kali menunaikan haji adalah layak menikmati subsidi haji sebanyak RM12,920 (subsidi tahun semasa).

“Pas yakin kedudukan kewangan semasa LTH mampu untuk membiayai subsidi kepada semua jemaah haji.

“Kami percaya LTH akan terus memudahkan dan menyempurnakan urusan jemaah bagi mendapatkan haji yang mabrur,” katanya lagi.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata pihaknya mengalu-alukan penyelarasan borang rayuan haji bagi kemudahan semua pihak, namun pihak LTH perlu juga menjelaskan kekeliruan yang timbul.

“Adakah perayu yang mampu membayar penuh kos haji tanpa subsidi diberi keutamaan berbanding perayu yang tidak mampu?

“Pas amat mengharapkan agar semua perayu diberikan pertimbangan yang adil dan diberi keutamaan yang wajar walaupun mereka tidak membayar sepenuhnya kos haji sebanyak RM22,900,” ujarnya lagi.