Malaysia Dateline

Pas mungkin perlukan bantuan kos guaman tertunggak

Bendahari Pas Pusat, Razman Zakaria berkata, pihaknya setakat ini belum mendapat maklumat mengenai jumlah akhir kos yang diperlukan berhubung kes saman Presidennya, Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown.

Walau bagaimanapun, beliau menjangkakan dana parti tidak mencukupi sekali gus tidak menolak kemungkinan memerlukan bantuan ahli dan penyokong bagi menampung tunggakan kos guaman.

“Kita ada kos setiap bulan sepanjang kes berjalan, pengurusan kes juga kita perlukan kos. Ya kalau ikutkan macam itulah (minta derma).

“Sebab itu yang kita katakan bahawa dana Pas ini ada di tangan ahli bagi mereka sedar. Jadi bila tiba masanya dan ada keperluan kita akan sentiasa minta daripada ahli,” dipetik dari Malaysiakini.

Kelmarin, Abdul Hadi membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown menerusi Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Ahli Parlimen Marang itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti tersebut menyokong BN.

Saman tersebut difailkan peguam Abdul Hadi daripada firma Carter-Ruck, bagi mendapatkan perintah injunksi dan ganti rugi berhubung artikel di laman web terbabit bertajuk ‘As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many Other Criminal Connections’.