Pas nafi gencatan serangan sesama pembangkang sebagai pendirian parti

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan menafikan cadangan supaya parti pembangkang melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri adalah pendirian parti, sebaliknya hanya lontaran idea daripada timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pas nafi gencatan serangan sesama pembangkang sebagai pendirian parti

Datuk Takiyuddin Hassan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan menafikan cadangan supaya parti pembangkang melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri adalah pendirian parti, sebaliknya hanya lontaran idea daripada timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, parti itu tidak pernah membincangkan perkara itu dan sesuatu pendirian parti perlu diumumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau wakil yang diamanahkannya.

“Bagaimanapun, lontaran idea daripada timbalan presiden itu akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik yang akan diadakan di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur, Ahad ini.

“Kita akan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara berkenaan selepas mesyuarat tersebut,” katanya kepada Bernama semalam.

Takiyuddin mengulas kenyataan Tuan Ibrahim dalam laman akaun Facebook miliknya kelmarin supaya parti-parti pembangkang melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi memberi fokus kepada musuh sebenar, Umno Barisan Nasional.

Tuan Ibrahim turut mencadangkan supaya parti pembangkang mencari titik kompromi, yang katanya tentu akan memerlukan tolak ansur satu sama lain.

Berikutan kenyataan Tuan Ibrahim itu, Takiyuddin berkata, ramai anggota Pas meminta pengesahan sama ada ia merupakan pendirian parti itu.

Sementara itu, pengarah pilihan raya Pas Pusat Datuk Mustafa Ali meminta semua pihak tidak menyalah tafsir kenyataan Tuan Ibrahim itu.

Beliau sebaliknya berkata, kerjasama politik boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan tidak semestinya hanya berlaku apabila Pas menyertai Pakatan Harapan.

Pas tidak akan masuk Pakatan Harapan tetapi dalam masa yang sama Pas menjalinkan kerjasama dengan PKR iaitu salah satu anggota Pakatan Harapan. Tetapi dalam kepala orang di luar sana kerjasama ini bererti masuk Pakatan Harapan. Ini tidak betul,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.