Pas nasihati Zakir Naik fokus dakwah

Pas nasihati Zakir Naik fokus dakwah
Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Pas memaklumkan sudah menasihati pendakwah bebas, Dr Zakir Naik supaya hati-hati dan fokus kepada dakwah selepas beliau didakwa telah menyentuh kepercayaan agama lain serta kesetiaan dan kewarganegaraan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Zakir perlu fokus kepada dakwah secara akademik dan tidak melayan isu politik yang berlaku.

“Kita telah menasihati Dr Zakir Naik supaya berhati-hati dalam isu politik negara sebab beliau pendakwah. Dr Zakir perlu fokus pada dakwah secara akademik.

“Cuma kita kena sedar, isu beliau telah dipolitikkan. Bukan beliau mempolitikkan isu ini, DAP yang mempolitikkan.

“Bila isu ini timbul, kita berpendapat biar kita yang tangani kerana parti politik yang memainkan isu ini, bukan beliau. Beliau hanya memberi jawapan bagi pihak diri dia. Oleh kerana ini menyentuh politik, jadi biar kita yang jawab,” katanya.

Abdul Hadi menjawab pertanyaan mengenai kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S. A Vigneswaran yang menyatakan rasa kesal mereka atas sikap Pas dalam menguruskan isu Zakir Naik.

Vigneswaran semalam berkata, Pas sepatutnya memberikan nasihat kepada Zakir agar menghormati bangsa lain di negara ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gagasan Sejahtera, di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir; dan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.