PAS – Pakatan Harapan perlu saling menerima?

PAS – Pakatan Harapan perlu saling menerima?

Pas tidak boleh bersendiri, sebaliknya perlu bergabung bersama Pakatan Harapan dalam menghadapi PRU14, itu kata Nik Omar Nik Abdul Aziz anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagaimana dipetik daripada laporan portal media Sinarharian online hari ini.

Beliau yang sebelum ini dikaitkan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, sejarah membuktikan PAS tidak mampu memperoleh keputusan baik ketika bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.

Beliau yakin sudut politik lebih terjamin untuk peralihan kerajaan baru dalam PRU14, jelasnya PAS pun tahu, kalau (bertanding) sendiri menerima risiko kalah dalam banyak kerusi.

Nik Omar dalam masa yang sama turut menyarankan agar PAS menerima kehadiran Amanah kerana asas perjuangan parti itu sama iaitu menegakkan Islam dan menegaskan Amanah dilahirkan daripada rahim yang sama.

Ini membawa maksud dari sudut asas dasar, PAS dan Amanah membawa dasar Islam yang tiada perbezaan, sama-sama nak perjuangkan Islam, cuma yang berbeza pendekatan dan ia tidak membabitkan akidah katanya.

“Sejak dari dulu lagi perkara ini sepatutnya diselesaikan dalam perbincangan dalaman, macam mana pun Amanah ini anak kepada ibu, anak dalam rahim yang sama (dengan Pas), kepimpinan yang ada sekarang asalnya puluhan tahun dalam Pas,”katanya.

Ditanya adakah Pas kini sudah berubah tidak sepertimana zaman Allahyarham ayahdanya, Nik Omar berkata, dasar Pas tidak berubah, sebaliknya pendekatan yang dibawa pimpinanya berbeza.

Beliau memberi contoh bagaimana Allahyarham Nik Aziz mengendalikan isu hudud dengan baik walaupun menerima tentangan lantang daripada pimpinan DAP.

“Politik Pas kini nampak DAP musuh utama, adapun Amanah melihat DAP rakan kongsi yang penting untuk pilihan raya, saya nampak, cara yang dibawa Pakatan Harapan ataupun Amanah ini lebih dekat dengan pendekatan tok guru.

“Kalau DAP tidak setuju hudud, bila mereka tentang, adakah lepas tok guru meninggal dunia? Tidak, masa tok guru ada lagi, mereka tentang tetapi tidak berlaku perpecahan, walaupun (bekas pengerusi DAP) Karpal Singh lawan tetapi tok guru pergi ziarah,“katanya.

Nik Omar bagaimanapun berkata, walaupun berbeza pandangan, namun beliau menegaskan menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh pemimpin parti termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam perkembangan ini penganalisis politik Prof Dr. Azmi Hassan di dalam kolumnya di Malaysia Dateline hari ini juga turut membuat congakan politik bahawa PAS tidak boleh bersendirian sama ada memilih untuk bersama Pakatan Harapan atau bersama Umno dalam menghadapi PRU14 untuk terus kekal berkuasa di Kelantan.

Menurut beliau, Jika PAS tidak mahu bekerjasama dengan Amanah maka senario politik Kelantan akan menjadi genting bagi PAS kerana secara dasarnya penyokong Amanah besar kemungkinan juga terdiri dari mereka yang bersimpati dengan PAS.

Perpecahan undi pasti akan berlaku jika pertembungan PRU14 melibatkan dua parti ini. Sebab itu juga kepimpinan Amanah dari awal lagi menyatakan PAS perlu bekerjasama dengan mereka demi untuk elak dari Umno meraih manfaat politik di Kelantan.

Tetapi amat sukar bagi PAS untuk bersama-sama dengan Amanah hanya demi untuk menolak Umno kerana Amanah yang dianggap sebagai serpihan dari PAS dikatakan telah merosakkan kekuatan dan kestabilan politik PAS.

Hakikatnya adalah PAS walaupun sinonim dengan politik Kelantan, tidak boleh bersendirian untuk menghadapi Amanah dan Umno.

Bukan sesuatu yang mustahil jika PRU14 akan datang menyaksikan tiada satu parti pun di Kelantan mampu menubuhkan kerajaan negeri jika dicongak statistik keputusan PRU13 dan senario terkini dimana telah ujud parti serpihan PAS iaitu Amanah.

Strategi terbaik PAS untuk mengekalkan kerajaan negeri dibawah pemerintahan parti mereka ialah untuk bekerjasama sama ada dengan Amanah atau Umno.

TAGS