Malaysia Dateline

Pas parti degil, tak mahu ikut arahan

Pengerusi AMANAH Perak Datuk Asmuni Awi menyifatkan Pas sebagai sebuah parti yang degil kerana pemimpin mereka tidak mahu mengikut arahan dan peraturan kerajaan.

“Pas ni parti yang degil, yang tak mahu ikut arahan, mereka bukan tidak tahu arahan. Menteri mereka sendiri pun sepatutnya ikut perintah kuarantin tetapi… sama juga apa yang berlaku sekarang ini,” katanya.

Mengulas pendedahan penceramah Pas Abdulla Khairi yang menggunakan platform kuliah di masjid untuk berkempen untuk BN di PRK Dun Slim, Asmuni berkata mereka tahu peraturan tetapi merasakan mereka sebagai kerajaan pemerintah boleh langgar peraturan sewenang-wenangnya.

“Yang tak boleh langgar orang lain, mungkin mereka telah dijamin syurga,” kata Asmuni.

Perakinsight hari ini melaporkan Penceramah Pas, Abdullah Khairi mendedahkan, beliau telah menggunakan platform kuliah di masjid untuk berkempen untuk BN di PRK Dun Slim.

Ketika berceramah di Masjid Trolak Utara, beliau telah bercerita hingga jemaah-jemaah yang hadir di masjid tersebut teriak (menangis).

Selepas itu, beliau menyuruh jemaah-jemaah masjid supaya mengundi BN pada PRK ini.

Bekas Exco Agama itu berkata, Sultan Perak pernah memanggil kesemua pemimpin parti menghadap baginda untuk memberi peringatan tegas bahawa surau atau masjid tidak boleh digunakan untuk kegiatan politik.

Beliau percaya Majlis Agama Islam Perak yang turut hadir dalam perbincangan parti politik berkenaan telah menjadikan peringatan tegas Sultan itu sebagai garis panduan.

“Pengiat Pas berkempen dan menyeru jemaah hadir dalam program pengajian tersebut supaya beri undi kepada calon BN, ni kempen terang-terang langgar arahan dan peraturan Sultan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam Majlis Ramah Mesra Pimpinan AMANAH Bersama Media Sempena PRK Slim hari ini.