Pas patut berani keluar dari pentadbiran PKR di Selangor, selar Exco Pemuda Umno

Pas patut berani keluar dari pentadbiran PKR di Selangor, selar Exco Pemuda Umno

Pas perlu sedar bahawa parti itu selama ini diperalatkan di Selangor oleh PKR dan DAP dalam agenda untuk menawan negeri itu.

Exco Pemuda Umno Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Hussin dipetik berkata, Pas kini ibarat ‘habis madu sepah dibuang kerana parti tidak diperlukan lagi dalam Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Ini jelasnya berikutan pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam, yang menetapkan tidak akan ada kerjasama dengan Pas pada PRU14, malah Pakatan Harapan juga sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14.

“Pas sepatutnya daripada awal perlu menyedari bahawa mereka mempunyai kekuatan sendiri tetapi malangnya masih bergantung kepada PKR, umpama hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

“Ini kerana Pas masih sanggup diperkudakan di Selangor walaupun muktamar parti itu yang ke-63 memutuskan bahawa tiada lagi tahaluf siyasi dengan PKR.

“Akhirnya selepas pengorbanan yang dilakukan, Pas dimalukan dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menolak parti itu pada PRU akan datang.

“Jika parti itu mempunyai maruah, mereka seharusnya berundur dari Kerajaan Negeri Selangor,” ujarnya seperti dilapor media parti itu.

{loadposition myposition} Nazir Hussin yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar Dan Perumahan Pemuda Umno Malaysia menambah,  jika Pas punya harga diri, mereka tidak sepatutnya bersama dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

“Jika Pas punya keberanian, mereka perlu letak jawatan sebagai exco. Biar Selangor diterajui kerajaan campuran kerana PKR sendiri tidak pernah menghargai jasa Pas.

“Saya mencabar Mohamed Azmin agar memecat Exco Pas yang sedia ada kerana parti itu sudah menikam Pas dari belakang.

“Bagaimanapun, saya nak ucap terima kasih kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berjaya membawa perpecahan dalam pembangkang. Insyaallah saya akan hadiahkan beliau sekuntum bunga atas jasanya itu,” tambahnya sinis.

CATEGORIES
TAGS