Pas patut kaji sejarah kemenangannya

Ustaz Othman Don, Ketua AMANAH kawasan Kulim-Bandar Baharu…Pas perlu baca sejarah.

Pas sepatutnya tidak lupa sejarah kemenangan yang pernah mereka perolehi sejak menyertai pilihan raya umum pada tahun 1964 iaitu hanya menang apabila bekerjasama dengan pihak lain.

Sejarah yang telah tercatat membuktikan bahawa Pas tidak mampu menjadi sebuah kerajaan secara sendiri walaupun berjaya mendapat kerusi yang banyak semasa era reformasi pada tahun 1999.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Kulim-Bandar Baharu, Ustaz Othman Don ketika ditemui semasa ceramah Pakatan Harapan di Pekan Lubuk Buntar, Bandar Baharu, Kedah kelmarin.

Katanya lagi, pada tahun 1964 Pas berjaya menang 9 kerusi dan pada tahun 1969 berjaya mendapat sebanyak 12 kerusi.

“Namun begitu amat malang bagi Pas apabila mereka tidak memenangi satu kerusi pun pada pilihan raya umum (PRU) tahun 1974.

“Seterusnya pada tahun 1978 mereka hanya mampu meraih kemenangan bagi 5 buah kerusi Parlimen sahaja.

“Sementara itu percubaan mereka untuk PRU berikutnya pada tahun 1982 tetap kekal dan statik dengan kedudukan hanya 5 buah kerusi, ” ujarnya yang telah bersama Pas selama lebih 30 tahun.

Menurut beliau lagi, semasa Pas menganggotai Angkatan Perpaduan Ummah mereka hanya berjaya mendapat kemenangan 1 kerusi bagi tahun 196.

Manakala dalam PRU tahun 1990 pula, Pas berjaya memperolehi peningkatan dengan memenangi 7 kerusi.

“Pada tahun 1995, sekali lagi menyaksikan sokongan kepada Pas tidak bertambah dan kekal dengan kemenangan 7 buah kerusi sahaja.

“Dalam PRU berikutnya pada tahun 1999 semasa era reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim ternyata ia mempengaruhi sokongan yang diperolehi dalam sejarah sehingga memberi kelebihan kepada Pas dengan mendapat sebanyak 27 buah kerusi.

“Sepatutnya sejarah kemenangan pada era reformasi dimana gabungan bersama Barisan Alternatif harus tidak dilupakan oleh Pas, ” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata seterusnya pada PRU 2004, nasib tidak menyebelahi Pas apabila mereka hanya mampu mendapat kemenangan bagi 6 kerusi Parlimen sahaja.

Walau bagaimana pun jelasnya, pada tahun 2008 ketika berada bersama dalam Pakatan Rakyat kedudukan Pas melonjak kembali apabila mereka mendapat sokongan sehingga menang 23 kerusi Parlimen.

“PRU tahun 2013 sekali lagi memperlihatkan sokongan yang mereka mampu perolehi dengan kemenangan 21 kerusi adalah hasil gabungan sedia ada dalam pakatan pembangkang yang besar seperti PKR dan juga Dap.

“Kesemua rentetan sejarah ini sewajarnya tidak dilupakan oleh Pas sekiranya mereka benar-benar ingin memperjuangkan nasib rakyat yang semakin tertekan dengan polisi kerajaan BN kini.

“Namun begitu walaupun Pas melaung-laungkan ingin bertanding 160 kerusi Parlimen, lambat laun kedudukan mereka akan tercorot juga.

“Ia didokong oleh sejarah lama yang harus dijadikan sebagai percaturan, disamping keengganan mereka untuk bersama dengan pakatan pembangkang yang mempunyai gabungan yang lebih besar seperti Pakatan Harapan, ” tambahnya lagi.

Sejajar dengan itu katanya, adalah amat diharapkan pengundi yang akan membuang undi pada 9 Mei nanti tidak memberi sekelumit sokongan bukan saja kepada Pas tetapi juga BN yang menjadi rakan karib parti tersebut.

MOHD ALI HASHIM

#DSC 01815 – 01816 – Ustaz Othman Don, Ketua AMANAH kawasan Kulim-Bandar Baharu.