Malaysia Dateline

Abdul Hadi Awang

Pas patut nasihat Hadi agar jangan makan gaji buta, kata Puad Zarkashi

Speaker DUN Johor Datuk Dr Puad Zarkashi membidas Pas, tidak perlu meminta Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) untuk menasihatkan presidennya sebaliknya Pas patut nasihat Abdul Hadi Awang agar jangan makan gaji buta.

“Umno sudah masak dengan lidah bercabang Pas. Tidak perlu minta MKT Umno nasihat Presidennya. Nasihati sahaja Presiden Pas supaya jangan makan gaji buta,” kata Puad.

Pas patut nasihat Hadi agar jangan makan gaji buta, kata Puad Zarkashi
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umnpo, Dr Puad Zarkashi

Menurut Puad beliau tidak terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Kedah Muhamad Sanusi Md Nor yang tidak mahu Pilihan Raya Umum (PRU) awal dan juga menuduh Najib Tun Razak takut untuk masuk awal ke penjara kerana perkara utama Pas adalah tidak mahu Umno menang.

“Sanusi dan Pas sudah masuk kluster “takut PRU awal”. Kenapa? Pas perlu lebih banyak masa mencari bahan terbaik untuk memfitnah Umno seperti di PRU14.

“Pas sedar parti itu tidak boleh main isu harga barang dan inflasi. Pas sebahagian dari kerajaan hari ini. Pas mahu PRU lambat untuk melakukan serangan hendap terhadap Umno.

“Kalau orang seperti Khairil Nizam (Ketua Penerangan Pas) mendakwa Umno hanya memikirkan kemenangan parti sendiri, maka bodoh sangatlah Umno melambatkan PRU.

“Semua parti mahu menang. Umno mahu menang untuk tubuh kerajaan stabil. Bukan kerajaan majoriti lemah yang boleh diugut, diikat dan ditikam dari belakang,” kata Puad dalam kenyataan kenapa Pas takut PRU awal?

Justeru, katanya Pas tidak perlu retorik kononnya mahu menjaga kesejahteraan rakyat dan negara kerana Pas juga akan bubar DUN Kelantan, Kedah dan Trengganu jika yakin boleh menang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Tetapi Pas takut kalah lebih awal. Sebab itu Pas cari jalan melambatkan PRU,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Pas menganggap pihak yang bertegas mahu menyegerakan PRU adalah kumpulan sebenar kemaruk kepada kuasa, bukannya parti itu yang berpendapat ada hal lain yang perlu diutamakan.

Hadi berkata demikian ekoran Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed yang menggelar PAS sebagai parti kemaruk kuasa.

Kemudian Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas pula Abdul Hadi Awang apabila menuduh presiden Pas itu sebagai takut partinya akan kehilangan banyak kerusi jika PRU dipercepatkan.

Baca juga: ‘Pemimpin yang dulu bangkang syor mansuh hukuman mati kini terpaksa telan ludah sendiri’

Baca juga: JPJ gesa pemegang lesen perbaharui lesen memandu sebelum 30 Jun