Malaysia Dateline

Pas patut tinggalkan sikap ‘aku lebih beriman’

Adalah lebih baik bagi Pas meninggalkan tabiat ‘Holier Than Thou’ atau rasa diri lebih beriman dan bertaqwa dari ahli parti-parti lain, dimana mereka sahaja yang benar dan betul membawa Islam, memperjuangkan Islam serta mengembangkan politik Islam.

Demikian dizahirkan oleh Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Jelasnya, Pas wajar meninggalkan tabiat lama yang keras menghukum orang lain, yakni dakwaan parti lain sebagai munafik atau musuh Islam samada melalui kuliah maghrib, dhuha serta mimbar khutbah Jumaat yang sering digunakan dengan gantinama yang samar-samar.

“Tidak dapat dinafikan sekiranya Pas berjaya membuang tabiat ini barulah usaha berbaik-baik dengan Umno itu jelas nampak ikhlas dan diyakini.Namun begitu, Pas pula cuba membawa tabiat lamanya keatas ahli-ahli AMANAH pula.

“Jangan lupa sayembara 2015-2017, Pas amat keras menghukum AMANAH dengan pelbagai momokan yang menyakitkan hati orang yang mendengarnya seperti kalimah munafik haraki, tapisan Allah, broker dan barua serta banyak lagilah kata-kata nista termasuklah nama-nama di Zoo Negara.

“Yang jelas tidak dapat dilupakan ialah apa yang Pas kecam dan hukum ke atas Umno sebelum ini, diulangi pula keatas AMANAH yang mereka lebih mengenali antara satu sama lain,” tegas beliau lagi.

Tambahnya, apabila menyebut bertaubat, maka sudah pasti syaratnya hendaklah meninggalkan terus tabiat maupun dosa tersebut dan ianya tidak harus diulangi lagi.

Sejajar dengan itu ujarnya, adalah diharapkan Pas meninggalkan tabiat ‘Holier Than Thou’ yang terdapat didalamnya sifat-sifat takabbur dan bangga diri yang harus dielakkan oleh semua pihak.