Malaysia Dateline

Pas pekerja sementara: Tumpu rakyat tempatan bukan PATI

Tindakan kerajaan untuk membuka peluang dengan memberi pas pekerja sementara kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dianggap suatu tindakan yang kurang efektif.

Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berpendapat tindakan kerajaan itu seperti tidak memahami keadaan sebenar rakyat di negara ini yang ramai hilang sumber pendapatan.

Tegasnya, tindakan umpama ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’ itu tidak adil kepada rakyat yang terpukul dengan kesan pandemik Covid-19 pada masa ini.

“Penggangguran di negara ini dalam rekod April sahaja sudah meningkat sebanyak 48.8 peratus iaitu seramai 778,800 orang.

“Adakah kerajaan tidak sedar akan permasalahan ini? Mengapa sibuk memikirkan PATI sedangkan penyediaan untuk mendapatkan pekerjaan kepada rakyat di negara ini tidak dipenuhi.

“Kerajaan harus memikirkan soal rakyat terlebih dahulu bukan PATI yang memasuki negara secara tidak sah. Rakyat hari ini terkesan teruk dengan keadaan kemelesetan ekonomi mereka dan ramai yang hilang punca pendapatan,” tegasnya.

Zuhan turut menyatakan bahawa kerajaan tidak perlu memenuhi hasrat atau kehendak industri yang ingin membayar gaji rendah kepada warga asing.

Kerajaan, jelasnya, perlu tegas dalam membela nasib rakyat bagi mendapatkan pekerjaan terlebih dahulu sebelum memikirkan soal PATI.

“Sekiranya wujud permintaan dari mana-mana sektor industri yang memerlukan pekerja asing sepatutnya kerajaan bertegas dengan mendahulukan rakyat negara ini.

“Pengumuman Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dalam isu pemberian pas sementara kepada PATI tempoh hari telah mengecewakan rakyat apatah lagi mereka yang hilang punca pendapatan dan tersepit.

“Rakyat mengharapkan ketegasan kerajaan dari segi pembelaan atas nasib mereka bukan dengan menggadaikan hal tersebut kepada orang asing yang bukan warga negara,” tegasnya lagi.