Malaysia Dateline

Pas ‘pengkhianat’ jika tidak bersama PH, kata Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya Pas berterusan dengan pendirian untuk bekerjasama dengan Umno-BN, ia tidak ubah seperti membantu pemerintah ‘kafir’  dan ‘pengkhianat’ dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Beliau merujuk kepada Amanat Haji Hadi pada 1986 yang mana ketika itu Dr Mahathir sebagai perdana menteri didakwa ‘anti Islam’ apabila menentang keras Amanat Haji Hadi tersebut.

“Mereka kata saya anti Islam kerana ketika itu pembangkang berkata kerajaan yang memerintah tidak pernah menerima Islam.

“Sedangkan orang yang menyalahgunakan agama Islam adalah Hadi.

“Ini kerana Hadi dalam amanatnya menyatakan pemerintah ketika itu adalah pemerintah ‘kafir’ jika kita berperang dengan pemerintah kafir, jika mati anda akan masuk syurga.

“Itulah sebabnya dia sudah berjanji, ini (amanat) adalah salah satu masalah mengenai Islam. Namun bagi orang yang beragama hanya membisu mengenai amanat ini,” ujarnya dalam sidang media diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Sidang media diadakan untuk melancarkan Policy Talk: Harapan Baru yang akan diketuai beliau selaku Pengerusi Pakatan Harapan yang akan diadakan setiap hari Rabu.

Ketika ditanya mengenai kesediaan Pas untuk bertanding lebih daripada 100 kerusi pada PRU14, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini berkata, pemimpin utama parti Islam itu tidaklah begitu Islam jika berterusan dengan pendirian untuk tidak bersama Pakatan Harapan.

“Hadi mengetahui semua kerusi yang mereka tandingi akan kalah tetapi tujuannya untuk membantu Najib dengan memecahkan undi pembangkang, itu niatnya.

“Itu bukanlah Islamik. Dalam bahasa Melayu kita panggilnya ‘pengkhianat’.

“Dia akan bertanding dan mengundi, dia sudah tahu akan kalah walapun jika menang hanya beberapa kerusi sahaja,” ujarnya.

Dr Mahathir mengimbas ketika Pas bertanding sendirian  tidak menyertai Pakatan Rakyat (PR), Pas tidak menangi banyak kerusi berbanding  ketika berada  dalam PR yang dianggotai DAP dan PKR.

“Dulu Pas bertanding tanpa gabungan PR  mereka tidak menang hanya dapat 11 kerusi sahaja hanya sekali ketika bergabung dengan DAP (PR) Pas menang lebih kerusi.

“Sekiranya kali ini Pas bersendirian dia akan kalah tidak kiralah 100 kerusi atau 1juta kerusi Pas akan kalah kerana bekerjasama dengan kafir (Umno-BN).

“Jika kita mahu bekerjasama dengan kafir kita juga adalah kafir… bukan saya kata itu Hadi kata,”  ujar  Dr Mahathir sinikal  merujuk kepada ‘Amanat Haji Hadi.”

Bagaimanapun pada tahun 1984, Majlis Fatwa Kebangsaan  memutuskan amanat tersebut sebagai bertentangan dengan Islam  dan boleh memecahkan perpaduan umat Islam.

Ketika ucapan dasar Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung parti itu pada  Sabtu lalu, sekali lagi beliau membangkitkan peristiwa Memali berlaku kerana  kegagalan mufti menyangkal fatwa ekstrem yang dikeluarkan Hadi membawa kepada tragedi Memali di Kedah.

 

Petikan Amanat Haji Hadi seperti:

Saudara-saudara sekelian percayalah,

Kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.