Malaysia Dateline

Pas Perak, berhentilah jadi tongkat pemimpin korup

Langkah Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria untuk memberi laluan kepada Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Tajuddin Rahman bertanding atas tiket Pas jika Umno mengugurkan Tajuddin sebagai calon parti itu dalam PRU-15 ibarat memberi tongkat kepada pemimpin korup.

Bukan sahaja ia merugikan politik Pas tetapi menambah kenaifan Pas Perak membawa gagasan politik matang dan sejahtera. Langkah tersebut juga seperti menafikan kemampuan kepimpinan Pas sendiri.

Pasir Salak sememangnya kubu kuat Umno sejak merdeka. Umno Pasir Salak atau nama lamanya Hilir Perak pernah melahirkan kepimpinan hebat seperti Mohd Abbas Ahmad, Othman Abdullah, Megat Junid Megat Ayub, Ramli Ngah Talib dan lain-lain.

Begitu juga Pas Pasir Salak pernah menampilkan tokoh hebat seperti Tuan Guru Abu Bakar Anjang Wahid, Hasan Adli dan sebagainya dalam menawarkan khidmat sebagai wakil rakyat.

Sidang media Tajuddin semalam dilihat melondehkan mendedahkan MKT Umno.

Tajuddin Rahman bukanlah seorang tokoh yang perlu dikaitkan dengan perjuangan Pas. Ia seperti jauh panggang dari api. Atau Pas Perak pasca Langkah Sheraton telah mengadaikan segala prinsip perjuangan demi merangkul kuasa?

Dalam PRU-14 pada 2018, Tajuddin Rahman menang dengan tiket BN apabila Pas turut bertanding tiga penjuru dengan PH.

Sebelum itu, kali terakhir Pas bertanding di Parlimen Pasir Salak pada PRU 2004. Ketika itu, saya diamanahkan oleh Pas bertanding di situ. Sejak itu, Pas memberi laluan kepada PKR berhadapan dengan Umno-BN bagi memastikan pertandingan satu lawan satu.

Sememangnya tawaran Pas Perak itu disambut baik oleh Tajuddin Rahman. Dia sedia pertimbangkan cadangan tersebut meski menolak daripada menyertai Pas.

Barangkali masing-masing sudah ada keserasian setelah sama-sama menikmati kesedapan berkuasa.

*DR. MUHAIMIN SULAM merupakan Naib Pengerusi AMANAH Perak dan Ahli Jawatankuasa AMANAH Pasir Salak.

Baca juga Selepas londeh isu dalaman Umno, Tajuddin muncul sohor kini di Twitter

Baca juga Boleh pula terlepas mata kail dalam kari ikan, wanita hanya terima diskaun RM0.60