PAS Perak tidak sertai Pakatan Harapan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pesuruhjaya Pas Negeri Perak Razman Zakaria hari ini mengumumkan parti itu akan bergerak bersendirian  untuk menentang Umno tanpa rakan sekutunya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihanraya Umum ke-14 .

Menurut beliau, Pas negeri juga  tidak akan menyertai Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).

Ahli Parlimen Lenggong ini juga mengesa supaya PKR membuat keputusan sama ada mahu bersama dengan parti Islam itu atau bertindak sebaliknya.

“Kita tidak akan sama sekali menyertai Pakatan Harapan selagi PAN dan DAP terlibat dalam kerjasama itu.

“Jadi kita sudah bersedia untuk untuk bertanding menentang Umno dan juga Parti Harapan, dan oleh sebab itu PKR perlu menyatakan pendirian mereka sama ada untuk bersama PAS atau Pakatan Harapan,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Perhubungan PAS Perak.

Razman menjelaskan, PAS akan merebut 22 kerusi di Perak dan kini ahli jawatankuasanya sedang giat menilai kerusi yang berpotensi untuk dimenangi mereka melalui Jawatankuasa Lajnah Perpaduan Nasional bagi menilai calon kepimpinan dalam kalangan bukan Islam untuk diketengahkan pada PRU-14.

“Calon-calon bagi kerusi ini sudah ada dan majoritinya adalah bukan Islam.

“PAS negeri hanya memberi cadangan dan akur kepada segala keputusan PAS Pusat, dan kemungkinan PRU14 akan terdapat pertarungan tiga penjuru,” ujarnya lagi.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa PAS tidak mempunyai ahli dan lumpuh berikutan tindakan seramai 200 orang ahli PAS di Parit Buntar didakwa telah keluar dari parti tersebut.

“Itu hanyalah spekulasi dan tidak ada bukti 200 orang itu keluar dari PAS,” jelasnya.

TAGS