Pas perasan jadi ‘king maker’, kata Husam

Pas perasan jadi ‘king maker’, kata Husam

Pas tidak realistik apabila mendakwa parti itu boleh menjadi ‘king maker’, kata Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, dalam situasi Pas tidak bersama Pakatan Harapan (PH) parti itu tidak diyakini dapat mengekalkan 23 kerusi parlimen yang disandang jika berlakunya pertandingan tiga penjuru.

“Pas mendakwa dia boleh bertanding 100 kerusi parlimen dan 40 kerusi dalam tangan. Tambah lagi jadi 80, tambah lagi jadi 100 dan dia boleh jadi ‘king maker’.

“Sekarang Pas ada 23 kerusi dalam parlimen. Adakah boleh dijamin selepas pilihan raya akan datang Pas ada 23 kerusi? Kerusi Temerloh (Pas) tiga penjuru, Bukit Gantang, tiga penjuru, selesai, Kota Raja Pas jangan bermimpi.

“Saya kira-kira tinggal tiga atau lima kerusi Pas. Kalau dapat lima kerusi Parlimen siapa siapa nak lantik dia jadi ‘king maker’?

“Ini bahasa yang tidak logik yang dilontar oleh Pas. Tapi bagi orang Pas yang tak faham apa dia anggap Pas ‘king maker’,” katanya sewaktu merasmikan Konvensyen AMANAH Perak di Ipoh, hari ini.

PH boleh menang di Perak

{loadposition myposition}

Beliau juga yakin PH mampu mengambil alih Perak dari BN jika mengekalkan formula yang digunakan pada tahun 2008 iaitu pembangkang meletakkan satu calon sahaja menjadi perlawanan satu lawan satu.

“Seingat saya formula pada 2008 ialah antara lain bagi mengelakkan pembaziran kekuatan kita walaupun kita tidak dalam satu platform yang sama kita setuju supaya pembangkang hanya meletakkan satu calon di satu-satu tempat untuk membolehkan kita mendapat undi maksimum rakyat bagi mengalahkan Umno.

“Oleh itu satu lawan satu diwujudkan. DAP pun bersetuju walaupun bukan dalam pakatan. PKR setuju kerana dia rakan Pas ketika itu. Ketika itu temanya bukan menjatuhkan kerajaan tapi mengurangkan majorti BN,” katanya.

Beliau berkata, PH di Perak perlu menyusun strategi untuk mengambil kerusi tradisional Umno-BN.

“Kita ingin mengulangi pencapaian ini tinggal lagi bagaimana kita mahu menyusun. Sekarang ada Bersatu, tapak BN harus kita tugaskan kepada Bersatu untuk meningkatkan undi kerusi tradisional kepada PH. Saya yakin ini boleh dilakukan,” katanya.

Konvensyen Amanah Perak 2

TAGS