Malaysia Dateline

Abdul Hadi Awang

Pas pergilah tanya Muhyiddin, PH atau PN yang mentah

Tindakan Datuk Seri Hadi Awang yang menyerang Pakatan Harapan dengan menggelar kemenangan PH sebagai mentah, menggambarkan bagaimana sokongan Presiden Pas itu begitu kuat terhadap kepimpinan kleptokrat Najib Razak.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Mahfuz Omar juga menganggap, Ahli Parlimen Marang itu sebenarnya kecewa apabila Najib dan Umno digulingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Beliau berkata, Hadi sepatutnya menyalahkan Perdana Menteri sekarang kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan antara individu yang menggepalai gerakan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Umno.

“Orang yang dimaksudkan Presiden Pas sebagai orang tak matang, orang yang mempunyai pemikiran begitu mentah sehingga menjatuhkan Najib adalah PM yang ada sekarang ini.

“Saya minta supaya beliau menghalakan kenyataan beliau itu kepada Perdana Menteri sekarang, yang sebenarnya banyak menggerakkan kempen kesedaran rakyat untuk menolak kerajaan Umno,” katanya dalam satu muatnaik video di Facebook rasminya.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, sekiranya kemenangan PH tidak matang disebabkan pengaruh fitnah berkaitan isu 1MDB, beliau sekali lagi meminta Hadi untuk memulangkan semula soalan itu kepada Muhyiddin.

Dakwanya, sekiranya benar PH mempengaruhi rakyat dengan melontarkan fitnah terhadap Najib dan BN, maka ia bermaksud yang memfitnah itu adalah Muhyiddin yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional.

Jelas Mahfuz, Muhyiddin antara pemimpin yang aktif berkempen mendedahkan isu 1MDB sewaktu pilihanraya yang lalu.

“Saya nak minta Presiden Pas bertanya kepada PM adakah PM mahu tarik balik terhadap apa yang pernah diutarakan oleh beliau bahawa Najib adalah pencuri 1MDB.

“Itu kenyataan yang sering diungkap dan diulang oleh PM. Saya minta Hadi Awang utarakan soalan itu kepadanya,” ujarnya lagi.