Malaysia Dateline

Pas Perlis mohon keadaan kesihatan Pesuruhjaya negeri tidak dispekulasi

Pas Perlis pagi ini meminta orang ramai mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan kepada Pesuruhjaya negerinya, Mohd. Shukri Ramli yang rebah ketika menyampaikan ucapan di Ceramah Perdana Muafakat Nasional Peringkat Negeri Perlis malam tadi.

Ketua Penerangan Pas Perlis, Dr Saifizi Saidon berkata, insiden tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ahli PAS dan masyarakat.

“Keadaan beliau kini dilaporkan stabil namun masih diletakkan di bawah pengawasan rapi doktor di CCU, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan Pas Perlis akan memaklumkan status terkini Mohd. Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

“Pas Perlis juga memohon semua pihak supaya tidak mengadakan sebarang spekulasi berkenaan keadaan kesihatan YB Mohd. Shukri.

“Sebarang perkembangan terkini berhubung keadaan beliau akan dimaklumkan oleh Pas Perlis dari semasa ke semasa,” katanya lagi.