Pas perlu bekerjasama dengan PH dan parti baharu elak hilang Kelantan

Pas perlu  bekerjasama dengan PH dan parti baharu elak hilang Kelantan

Pas tidak mempunyai pilihan lain bagi menghadapi pilihan raya selain bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan parti baharu yang bakal diwujudkan oleh bekas pemimpin Umno bagi mempertahankan Kelantan.

Bekas Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, sekiranya Pas mengambil pendekatan enggan bekerjasama dan bersendirian, nasib Kelantan bakal terlepas ke tangan pihak lain.

“Kalau Pas bersendirian, mereka mengambil pendekatan bertanding tiga penjuru. Ini bermakna bahawa Pas bakal kehilangan Kelantan.

“Saya bukan Tuhan yang tahu tentang masa depan Pas tetapi dalam pilihan raya kita ada analisa. Sebab itu Pas tidak sertai semua kerusi pada PRN Sarawak kerana perkiraan mereka cukup tipis untuk menang,” katanya ketika ditemui selepas sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam lapor  portal Sinar Harian.

Mengulas penubuhan parti baharu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mahfuz berkata: “Semua yang hadir hari ini (semalam) adalah dari kalangan mereka yang menandatangani Deklarasi Rakyat. Bagi bekas pemimpin Umno, mereka perlu satu parti baharu bagi menghimpunkan pengikut-pengikut mereka.

“Parti baharu ini perlu bekerjasama dengan parti-parti sedia ada bagi tujuan mengalahkan BN,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.