Pas perlu jujur bersama pakatan pembangkang di Kedah

Pas perlu jujur bersama pakatan pembangkang di Kedah

Apakah Pas benar-benar sudah bersedia untuk bersama pakatan pembangkang masih  menjadi tanda tanya majoriti rakyat dalam negara ini khususnya di negeri Kedah.

Walaupun beberapa siri kenyataan  sebelum ini yang menyatakan kesediaan mereka untuk bersama pakatan pembangkang di Kedah, ia amat dialu-alukan.

Menurut Ketua Pemuda Amanah Negeri Kedah,Asmirul Anuar Aris , pada masa yang sama adalah amat meragukan dari sudut hala tuju Pas apabila segelintir pimpinan Pusat sering kali senada dengan hala tuju pimpinan Umno.

“Sebagai bukti pembentangan bajet 2016 dan 2017 memperlihatkan Pas mengambil sikap berkecuali,” ujarnya.

Asmirul juga berkata, adakah Najib bersedia untuk hadir ke mahkamah sebagai saksi sekiranya ia dikaitkan dengan beliau dalam saman Pas terhadap Sarawak Report yang mungkin menjadi realiti atau fantasi.

“Pas perlu membersihkan imej mereka sebelum menjelangnya pilihan raya umum ke 14 yang akan datang.

“Persoalan juga timbul, apakah Pas Kedah mampu untuk membuat keputusan tanpa restu dari Majlis Syura Pas Pusat mengenai hubungan antara parti pembangkang.

“Sekiranya Pas jujur untuk bersama pakatan pembangkang, perlu ada ‘date line’ atau tarikh akhir keputusan kearah pembentukan bersama agihan kerusi serta kerjasama jentera harus diperolehi dari Pas, supaya siap siaga menghadapi Umno-BN dapat dilaksanakan, ” tegasnya lagi.

Ujarnya lagi, Pesuruhjaya Pas Kedah telah pun mengeluarkan kenyataan akan bertanding 24 kerusi Dun daripada sejumlah 36 kerusi Dun di Kedah.

“Apakah hanya baki 12 kerusi akan diagihkan kepada Bersatu dan PKR serta bagaimana pula dengan kerusi untuk Dap.

“Pas perlu sedar dan menerima hakikat bahawa untuk memerintah Kedah, mereka sudah sepatutnya sedia maklum pengundi Cina amat penting bagi kerusi Dun dalam bandar dan pinggir bandar.

“Mana mungkin Pas boleh bertindak mengenepikan DAP yang sedia maklumnya mendapat sokongan pengundi Cina jika dibandingkan dengan MCA, Gerakan maupun DHPP, ” jelasnya lagi.

Malah katanya, gelombang rakyat untuk menolak BN semakin meningkat ekoran dihimpit kenaikan kos sara hidup, cukai perkhidmatan dan barangan seperti GST, kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barangan.

“Isu besar seperti 1MDB masih lagi menjadi pertikaian di dalam dan juga luar negara.

“Pas pula dilihat masih terkesima untuk mempertikaikan tindak tanduk Najib.

“Peratus kepimpinan Pas yang mempertikaikan isu 1MDB melibatkan Najib boleh pula dikira dengan jari jemari dan amat mengecewakan rakyat, ” tambahnya lagi.

Oleh kerana itu kata Asmirul, sekiranya ingin merubah kedudukan dan nasib rakyat yang lebih baik di Kedah, maka penyatuan pembangkang terhadap ke semua isu tersebut harus mendapat pertimbangan kesemua parti pembangkang.

Jika tidak katanya, maka haruslah beranggapan bahawa pertembungan sebenar PRU 14 hanyalah diantara Pakatan Harapan bersama Bersatu yang akan menggunakan satu logo menentang BN.

COMMENTS

Wordpress (0)