Matlamat utama Pas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Setia adalah untuk memperkuatkan lagi elemen semak dan imbang dalam sidang Dun Selangor.
Calon PAS, Dr Halimah Ali bagi PRK Dun Seri Setia berkata suara pembangkang serta pemantauan terhadap pergerakan kerajaan negeri akan menjadi lebih kuat sekiranya kemenangan itu berpihak kepada parti tersebut.
“Kalau tidak ada ‘check and balance’ (semak dan imbang), maka tiada kuasa pembangkang yang akan meneliti atau memerhati apa yang dilakukan oleh kerajaan (Pakatan Harapan).
Oleh itu kita mesti pastikan suara umat berada di dalam sidang DunSelangor supaya suara rakyat di blok pembangkang boleh dilontarkan tanpa rasa takut serta membentangkan isu-isu sebenar,” katanya ketika majlis pertemuan calon bersama pimpinan dan jentera Pas dan Umno di kawasan lapang berdekatan Masjid Kampung Lindungan,semalam lapor Bernama.
Turut hadir Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad dan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam.
Dr Halimah yang merupakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu berkata gelombang ‘hijau dan merah’ (Pas dan Umno) kali ini memberi hikmah untuk meraih sokongan pengundi dan seterusnya memenangi kerusi Dun Seri Setia.
Pada 8 September, Dr Halimah yang merupakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang bakal berdepan satu lawan satu, menentang calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar untuk merebut jawatan Adun Seri Setia.
Kerusi Dun Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lalu.