Malaysia Dateline

Pas perlu segera jelaskan fakta saman terhadap SR

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan, Pas perlu segera mendedahkan dokumen berkaitan untuk menafikan RM1.4 juta dibayar kepada pengasas Sarawak Report (SR).

Beliau berkata, PAS mempunyai tanggungjawab untuk membersihkan arena politik negara daripada amalan korup dan pembohongan, selepas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh sendiri mengakui diarahkan pemimpin tertinggi Pas untuk melakukan pembohongan.

Katanya, ini adalah rancangan tersusun pimpinan Pas bagi mengalihkan isu, termasuk ancaman Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik untuk mengadakan solat hajat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan juga ada memberi kenyataan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya bercakap berdasarkan khabar angin, sedangkan Pas mempunyai dokumen.

“Ini bukan ‘politik matang’ yang digembar-gemburkan Pas, tetapi ‘politik dayus’ untuk menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekarang ini dokumen berkaitan penyelesaian saman terhadap SR bersama salinan cek dan butiran pembayaran sudah didedahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam isu ini, Pas perlu segera mendedahkan dokumen berkaitan bagi menafikan RM1.4 juta dibayar kepada pengasas SR.

“Cara pertama untuk menyelesaikan masalah ini adalah berlaku jujur. Walaupun kebenaran mungkin pahit, kita diperintahkan Rasulullah untuk tetap mengatakannya,” katanya.

Menurut Shamsul, ini adalah tanggungjawab Pas untuk ahli dan penyokongnya yang telah berkorban memberikan sumbangan membela nama Pas terhadap tuduhan SR.