Malaysia Dateline

Pas persoal mengapa AMANAH ‘histeria’ bila DAP kena serang

Seorang kolumnis Harakahdaily mempersoal sikap AMANAH yang dianggapnya seperti diserang histeria apabila Pas menyerang DAP.

Memanggil AMANAH sebagai PAN, penulisnya Mohd Nasir Abdullah berkata, Pas tidak menyerang AMANAH sebaliknya DAP yang diakui Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tulang belakang Pakatan Harapan (PH).

“Tapi masalahnya PAN itu yang terjerit-jerit, tergolek-golek macam histeria bila DAP kena serang. DAP ok saja bila Pas serang, yang PAN meracau apa hal?” tempelaknya kelmarin.

Beliau turut mengulas kritikan AMANAH baru-baru ini terhadap Pas terutama kerajaan negeri Terengganu berhubung isu meminta wang daripada kontraktor bagi mencari dana Pilihan Raya Umum (PRU).

“Malangnya seperti biasa, tuduhan hanya melalui akhbar mereka, tidak sampai ke SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Dikatakan ianya sudah lama berlaku, oleh itu kenapa tidak dilaporkan kepada SPRM sewaktu mereka menjadi kerajaan dahulu. Cakap kedai kopi dibawa masuk dalam akhbar,” bidasnya.

Nasir juga menyebut tentang jumlah wang yang dikaitkan dengan Pas iaitu RM30 juta pada masa ini berbanding RM90 juta sebelum PRU14.

“Mungkin kerana untuk Terengganu sahaja, jadi RM30 juta. Tetapi bagaimana negeri-negeri lain? Tak akan PAN tak tahu berapa banyak keperluannya?

“Lagi persoalannya, Pas sudah menjadi kerajaan PN, habis nak lawan siapa lagi? Di Terengganu, Pas hanya ada PAN sebagai lawan yang semuanya kehilangan deposit.

“Tak akan nak kumpul sampai RM30 juta semata-mata nak lawan PAN. Membazir… baik sedekah,” ujarnya lagi.

Difahamkan Pas Terengganu berazam untuk memastikan dalam akaun mereka mempunyai dana sebanyak RM30 juta menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Minggu lepas, sumber seorang ahli perniagaan memberitahu Malaysia Dateline bahawa terdapat seorang individu yang digelar Pegawai Khas Projek di pejabat Menteri Besar Terengganu yang dilantik untuk mengumpul dana tersebut dari projek-projek yang melibatkan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Nasir menganggap isu tersebut sebagai hanya untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini sahaja.

Walau bagaimanapun, katanya, AMANAH salah sasaran kerana Pas tidak bertanding dalam PRK tersebut.

“Dan jika memang PAN nak jatuhkan PN pun, tak berbaloi sebab Pas 8 kerusi DUN saja. Pas bukan tulang belakang PN.

“Habis itu yang Pas tak puas-puas serang PAN itu kenapa? Kan PAN parti nyamuk, bukan banyak kerusi pun, bukan tulang belakang PH pun?” sinisnya lagi.