Malaysia Dateline

Tuan Ibrahim Tuan Man

Pas persoal perkembangan siasatan polis terhadap pemimpin DAP, Hindraf

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) menuntut pihak kerajaan dan pihak polis memperincikan perkembangan siasatan kes yang melibatkan empat pemimpin DAP dan seorang pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).

Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiadanya tindakan kerajaan terhadap lima pemimpin DAP itu walaupun banyak pihak telah membuat laporan polis.

Katanya lagi, rakyat berhak untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan kes berkenaan supaya ia dilihat berjalan dengan telus dan adil.

“Pertama, kes Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy (DAP) yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan pemimpin pengganas Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE) dan gambarnya melakukan aktiviti ritual menyembah senapang Kalashnikov (AK-47).

“Kedua, kes Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran (DAP) yang menuduh orang Melayu sebagai pendatang dan mahu mengetuk kepala guru-guru sejarah dalam satu program yang dianjurkan di Nilai, Negeri Sembilan.

“Ketiga, kes Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy (Hindraf)  yang telah membuat fitnah dengan mendakwa pihak kerajaan memberi layanan buruk, mendiskriminasi dan menzalimi masyarakat India di Malaysia.

“Keempat, kes Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Selangor, V. Ganabatirau (DAP) yang menuduh kumpulan Muslim menyerang Kuil Sri Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, Selangor.

“Dan kelima, kes Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto (DAP) yang menghina rakyat Kelantan dengan menjadikan kanak-kanak sebagai objek hiburan setelah pihak Kerajaan Negeri Kelantan tidak meluluskan lesen hiburan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, lima kes yang melibatkan pemimpin DAP ini sangat kritikal kerana ia telah menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.

“Pihak kerajaan dan polis mesti memberi penjelasan tuntas berhubung kes ini,” ujar Ahli Parlimen Kubang Kerian ini.