Malaysia Dateline

Pas pilih kerjasama dengan PN, tidak akan bubar Kelantan, Terengganu, Kedah

Pas memutuskan untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Perikatan Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa kerja Pas Pusat yang diadakan sebentar tadi.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membuat keputusan untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRU-15, atas prinsip penyatuan ummah.

“Selain itu Pas juga memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Pas bersetuju untuk semua calon daripada peringkat negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama terlebih dahulu.

Sementara itu, berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Hadi berkata mesyuarat itu memutuskan untuk mengekalkan pendirian tidak membubarkan 3 DUN termasuklah Kelantan, Terengganu dan Kedah.