Malaysia Dateline

Pas pilih PN kerana tidak mahu kongsi kerusi dengan Umno di Kelantan, Terengganu, Kedah

Rasa tidak puas hati Umno terhadap Pas kerana akhirnya memilih bersama Perikatan Nasional atau PN dan tidak bersama Muafakat Nasional (MN) dalam PRN Melaka masih lagi berlanjutan, walaupun hari penamaan calon sudah berlangsung semalam.

Seharusnya, selepas saja penamaan calon diadakan, semua parti mesti fokus kepada hari pengundian dan melupakan perkara lalu yang mungkin menyakitkan.

Mengenang cerita semalam yang melukakan tentu saja merupakan gangguan yang menghalang kelancaran untuk terus melangkah ke hadapan.

Tetapi hari ini melalui laporan media, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan Naib Presidennya, Khaled Nordin masih lagi memperkatakan mengenai pendirian Pas itu.

Kedua-duanya, secara langsung dan tidak tidak langsung, tampak kekal menyalahkan Pas kerana menolak kerusi yang ingin diberi Umno di PRN Melaka serta keinginan parti itu pada waktu yang sama mahu mendamaikannya dengan Bersatu. Bagi Umno, sikap Pas itu tidak boleh diterima, sama seperti Umno juga tidak pernah cuba mahu mendamaikan Pas dengan AMANAH.

Realitinya, walaupun semua orang boleh menjangkakan masa depan Pas akan lebih cerah jika bersama Umno, tetapi mengapakah parti itu lebih memilih Bersatu melalui PN berbanding MN?

Tidak cukup dengan itu, Pas juga sanggup melupakan lambangnya sendiri dan setuju menggunakan logo PN dalam pertaruhan di Melaka ini.

Apakah Pas tidak lagi mementingkan penyatuan ummah? Sesungguhnya apa yang dilakukan Pas ini adalah suatu pengorbanannya yang besar kepada Bersatu dan PN.

Di waktu yang sama, sementara masih kedengaran suara-suara dalam Pas sendiri yang mengatakan MN masih belum mati, namun Presiden Pas, Hadi Awang telah memberi isyarat yang jelas agar ahli dan penyokong parti itu memberi undi mereka kepada PN pada 20 November depan ini.

Dengan itu, pertempuran di Melaka ini bukan saja melibatkan PN dan BN, selain PH, tetapi juga khusus antara Umno dan Pas.

Tambahan itu, Umno dan Pas akan berlawan sesama sendiri di tujuh daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Dengan itu, bukan saja pertempuran, cerca-mencerca dan menuruh sesama sendiri tidak lagi dapat dielakkan, bahkan luka serta calar-balar akibat daripadanya juga pasti akan berpanjangan.

Sekaligus, berbanding untuk memulihkan MN selepas PRN Melaka, lebih mungkin yang berlaku ialah putus hubungan terus antara Pas dan Umno.

Sebagaimana BN ingin solo di PRN Melaka kerana berasakan mereka boleh memenanginya tanpa bekerjasama dengan sesiapa, Pas juga sebenarnya ada perkiraan tersendiri dalam hal ini.

Pas lebih memilih bersama Bersatu melalui PN di Melaka adalah semata-mata kerana tidak mahu terhutang budi dengan Umno dalam berkongsi kerusi di negeri-negeri yang sedang dikuasainya iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Jika Pas setuju bekerjasama dengan Umno di Melaka dan terhutang budi menerima kerusi yang diperuntukkan parti itu, mahu tidak mahu, Pas juga harus membalasnya dengan memberi sebahagian kerusi mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah kepada Umno.

Di ketiga-tiga negeri itu, Pas bukan saja sukar berkongsi kerusi, malah secara sendirian pun mereka mampu untuk mengekalkan kuasa serta memenangi beberapa kerusi Parlimen.

Secara mudahnya, bersama Bersatu sudah lebih daripada cukup untuk Pas bertahan menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam PRU15 akan datang.

Dengan menolak bekerjasama dengan Umno di Melaka, maka Umno selepas ini jangan haraplah untuk mendapat belas ihsan Pas mendapat sebarang perkongsian kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Dalam hal ini, Pas sebenarnya tidak peduli pun siapa jadi kerajaan pusat selepas PRU15 akan datang kerana mereka bila-bila masa boleh menyesuaikan diri dan mencipta dalil untuk menghalalkan laluan ke arah bekerjasama dengan sesiapa saja yang menjadi kerajaan.

Begitu juga dengan lain-lain negeri, ia tidaklah sepenting mengekalkan kuasa di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang memang merupakan tapak kukuh bagi Pas.

Yang penting bagi Pas, mereka mesti ada sejumlah kerusi Parlimen dalam genggaman agar boleh menyesuaikan diri dengan mana-mana parti dan tidak hilang cengkaman di tiga negeri ia bertapak kukuh itu.

Semua cita-cita itu sudah boleh mereka dicapai melalui hubungan dengan Bersatu melalui PN dan tidak memerlukan pun kekuatan MN atau pertolongan daripada Umno.