Pas-PPBM: Umno benarkan musuh kerjasama dengan rakan ‘ta’awun?

Pas-PPBM: Umno benarkan musuh kerjasama dengan rakan ‘ta’awun?

Mahfuz Omar

Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang mencari ruang membentuk kerjasama tetapi dalam masa yang sama parti Islam itu dan Umno sudah pun mesra menjalin hubungan ‘kerjasama’ dalam istilah ‘ta’awun’, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, walaupun hubungan kerjasama Pas dan Umno tidak dinamakan ‘kerjasama politik’ secara terang-terangan tetapi Umno dan Pas begitu selesa dengan pendekatan ‘ta’awun’.

Menurut beliau yang masih ahli Pas, sudah tentu kedua-dua parti mahukan pulangan keuntungan politik (political mileage) daripada pendekatan ta’awun tersebut.

“Umno sudah pasti berpuas hati apabila Pas bertegas dan istiqamah untuk tidak menerima DAP dan Amanah serta tidak menyertai Pakatan Harapan.

“Persoalannya adakah Umno akan membiarkan rakan ta’awunnya iaitu Pas menjalinkan kerjasama politik dengan PPBM yang menjadi amcaman pada Umno untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi tujuan mengalahkan Umno-BN?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Pas dan PPBM dilaporkan akan mengadakan pertemuan pada 2 Februari ini bagi memutuskan sama ada Pas akan menjadi sebahagian daripada blok pembangkang atau sebaliknya.

Bagaimanapun menurut Mahfuz pertemuan itu diawalkan kepada 1 Februari ini.

Mahfuz juga berkata, rakyat sedang memerhati sama ada Umno akan menghalang kerjasama rakan ta’awunnya ataupun Umno akan menjadikan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai beban yang akan dipikul Pas dari kerjasama ini untuk memaksa Pas menolak kerjasama ini.

“Apakah 1 Februari 2017 nanti akan menyaksikan tandatangan persefahaman dokumen kerjasama Pas dan PPBM beserta dengan persetujuan pengagihan kerusi yang bakal ditandingi pada PRU14 nanti?” soalnya.

Beliau juga secara peribadi berharap jalinan kerjasama Pas dan PPBM dimeterai bagi membolehkan Pas kembali berada dalam arus perdana politik Malaysia bersama rakyat dalam pakatan pembangkang bagi meranapkan Umno-BN dalam PRU14.

“Tiada maknanya kerjasama PPBM dan Pas ini kepada rakyat Malaysia jika sekadar berada dalam blok ketiga dan ‘mengasingkan diri’ dari rakan parti pembangkang yang lain.

“Penantian yang mendebarkan untuk kepentingan rakyat dan negara tercinta,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)