Pas Pusat mahu PRN, Pemuda Terengganu harap tidak ada

Pas memberikan signal berbeza tentang pilihan raya negeri (PRN) Terengganu apabila pemimpin pusatnya berkata mereka sedia mengambilalih negeri itu manakala Pemuda Pas negeri berharap ia tidak diadakan.

Pas Pusat mahu PRN, Pemuda Terengganu harap tidak ada

Pas memberikan signal berbeza tentang pilihan raya negeri (PRN) Terengganu apabila pemimpin pusatnya berkata mereka sedia mengambilalih negeri itu manakala Pemuda Pas negeri berharap ia tidak diadakan.

Timbalan presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas sedia untuk menyokong bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said untuk mengenepikan menteri besar Ahmad Razif Abdul Rahman, lapor The Star.

“Kami sedia untuk membentuk kerajaan baru,” kata Tuan Ibrahim kepada versi online akhbar itu.

Bagaimanapun beliau mengecam Ahmad yang hanya tahu membuat ugutan sahaja.

“Dia tidak patut buat bising sahaja. Jika Umno nak pecat dia, dia patut keluar parti dahulu,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah rakan Mat Said, Ghazali Taib juga patut keluar dari Umno.

Namun nada Pas di negeri Terengganu sendiri berbeza.

Hishammuddin Abd Karim tokoh muda Pas Terengganu.Timbalan Ketua Pemuda Pas Terengganu, Hishammuddin Abdul Karim berharap PRN tidak diadakan.

Kos perbelanjaan untuk mengadakan sesuatu PRN adalah besar sedangkan kepentingan rakyat perlu didahulukan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, kata Hishamudin kepada akhbar Sinar Harian itu yang membayangkan keraguan Pemuda Pas terhadap PRN itu.

“Kita harap PRN tidak berlaku sebab ia libatkan kos dan kepentingan rakyat. Kita kira sudah sampai pada satu tahap ia diselesaikan melalui PRU,” katanya kepada Sinar Harian.

Hishammuddin yang juga Adun Tepoh menjelaskan pihaknya tetap bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan PRN Terengganu apatah lagi melalui desas-desus yang timbul sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, jentera Pemuda Pas peringkat negeri bila-bila masa sahaja akan bekerja untuk memastikan kemenangan parti.

Umno Terengganu bersedia jika PRN hendak diadakan di negeri itu ekoran kemenangan dengan majoriti kecil dalam PRU 2013 menyebabkan kerajaan negeri tidak stabil.

Pelbagai pihak beranggapan, Umno negeri yakin boleh menang lebih besar kerana Pas kini berpecah kepada dua dengan kelahiran Amanah di samping Pas negeri itu tidak mempunyai hubungan baik dengan PKR negeri.

Pas bercadang untuk merampas satu-satunya kerusi yang dimenangi PKR dalam PRU 2013 iaitu Dun Bandar yang diwakili oleh Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail.