Malaysia Dateline

Pas ramal DAP akan pecahkan PH

Parti Islam SeMalaysia (Pas) menyifatkan DAP adalah sebuah parti yang tidak setia dan menjadi tukang pecah pakatan yang dibentuk parti itu sejak sekian lama.

DAP dilihat sebagai parti pecah pakatan menerusi Setiausaha Agung parti itu seperti Lim Kit Siang, Kerk Kim Hock dan Lim Guan Eng yang bertanggungjawab dalam siri pecahkan pakatan.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

“Pakatan pertama yang DAP pecahkan ialah Gagasan Rakyat yang Lim Kit Siang umumkan penarikan diri DAP darinya pada 25 Januari 1995.

“Pakatan kedua yang DAP pecahkan ialah Barisan Alternatif yang Kerk Kim Hock umumkan penarikan diri DAP darinya pada 22 September 2001.

“Pakatan ketiga yang DAP pecahkan ialah Pakatan Rakyat yang Lim Guan Eng umumkan kematian dan pembubarannya pada 16 Jun 2015,” ujar Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam kenyataan di facebook hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, Pas tidak mengkuburkan Pakatan Rakyat kerana usuldi Muktamar Tahunan Pasbelum lagi dibincangkan oleh Majlis Syura Ulama’ Pas pada 2014 lepas.

” Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali, waktu itu menyebut Pakatan Rakyat belum mati.

“Tetapi Lim Guan Eng awal-awal lagi menyebut pada 10 Disember 2014 “DAP sedia untuk melihat Pakatan Rakyat berpecah jika pemimpin Pas menyerahkan Usul Rang Undang-Undang Persendirian untuk melaksanakan hudud di Parlimen”.

“Lim Guan Eng melalui kenyataan media beliau pada 26 Disember 2017 juga mengaku bahawa DAP yang mematikan Pakatan Rakyat dengan menyebut “DAP mengambil posisi yang betul untuk memutuskan hubungan dengan para pemimpin PAS”,” ujarnya lagi.

Justeru Mohd Khairuddin berkata, susurgalur sejarah membuktikan DAP akan memecahkan pakatan yang disertai oleh parti itu, di dalam Pakatan Harapan, jika kehendak DAP tidak dapat diterima oleh rakan-rakan pakatan yang lain.

“Saya jangkakan perkara sama akan berlaku dalam Pakatan Harapan yang akan dipecahkan oleh DAP bila ada rakan pakatannya yang tidak akur dengan kehendaknya.

“Sejarah sentiasa berulang dan mereka yang tidak belajar dari sejarah akan sentiasa tertipu,” ujarnya.