Malaysia Dateline

Pas samakan tuntutan golongan LGBT dengan isu ‘Stonewall’ di Amerika Syarikat

 

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan berkata golongan Lesbian Gaya Biseseksual Transeksual (LGBT) yang semakin berani meminta hak sama rata dan tidak mahu didiskriminasikan mula meresahkan masyarakat yang masih tebal pegangan agama dan adat budaya ketimuran.

Beliau menyamakan tuntutan LGBT ini dengan peristiwa Stonewall yang pernah berlaku di Greenwich Village, New York Amerika Syarikat pada 1969.

” Kumpulan gay Amerika Syarikat (AS) berhadapan dengan sistem perundangan anti gay tetapi mereka tetap disokong oleh beberapa pertubuhan sivil termasuk parti politik.

“Kemudian, mereka lebih berani mendedahkan identiti dalam kalangan masyarakat sehingga premis operasinya diserbu oleh pihak polis sehingga mencetuskan rusuhan pada bulan Jun 1969.

“Beberapa bulan selepas kejadian, mereka agresif membentuk pertubuhan gay di AS dan dunia. Mereka sudah lebih terbuka berdepan masyarakat dengan mengedarkan bahan penerbitan promosi LGBT dan menganjurkan perarakan ‘Gay Pride’ di beberapa buah bandar utama AS,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Nasarudin berkata, kini sudah wujud monumen khas Stonewall di New York sejak tahun 2016.

“Apa yang diucapkan oleh Obama dalam majlis ‘LGBT Pride Reception’ pada 9 Jun 2016?:”When all Americans are treated equal, we’re all more free”

“Lihat, bagaimana naratif Stonewall yang bermula dari sebuah pekan kecil sehingga diiktiraf oleh negara,” tegasnya lagi.

Tambah beliau lagi, nilai, budaya dan ruh dalam peruntukan Perlembagaan Malaysia berbeza dengan demokrasi liberal barat.

“Tidak ada kebebasan mutlak tanpa pengawasan Syari’ah. Komuniti LGBT tidak harus meminta hak yang sama rata, tetapi berusahalah untuk kembali kepada fitrah insan yang sebenar,” tegasnya.